MFLS terajui usaha membina negara bangsa dengan belia berkepimpinan
Amzar Alif
Mei 16, 2024 14:06 MYT
Mei 16, 2024 14:06 MYT
KUALA LUMPUR: Dalam hasrat membina negara bangsa yang diterajui, Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) meneruskan lagi program Malaysia Future Leaders School (MFLS) untuk tahun keenam.
Program MFLS yang melibatkan tiga fasa ini menghimpunkan golongan belia daripada pelbagai negeri dan bangsa untuk sama-sama melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu dan kefahaman seterusnya menyumbang kepada negara.
Bermula dengan MFLS Tier 1, di mana ia memberi pendedahan awal kepada para pelajar mengenai program MFLS secara meluas di sekolah, manakala MFLS Tier 2 pula merupakan peringkat bagi membangunkan belia untuk menyumbang kepada komuniti dan masyarakat
Seterusnya, MFLS Tier 3 memfokuskan untuk melahirkan pemimpin muda yang berkarisma, berwawasan serta mempunyai pemikiran strategik di peringkat nasional dan antarabangsa.
Menariknya, program MFLS Tier 3 ini berpaksikan tujuh elemen iaitu kepimpinan, kenegaraan, pembentukan watak dan jati diri, keusahawanan, kesukarelawan, komunikasi dan pengantarabangsaan.
Menurut Ketua Pengarah AKM, Mohd Haswandi Ahmad, MFLS Tier 3 yang merupakan fasa terakhir bagi program itu melibatkan 150 belia terbaik daripada keseluruhan 20,000 setahun.
‘Tahap program ini sebernanya, bermula Tier 1 di sekolah, Tier 2 di pusat latihan kenegaraan selama lima hari berkursus dan kemudiannya kita ada saringan di mana sekarang ini Tier 3 kita himpunkan yang terbaik di antara yang terbaik.
‘Program ini adalah bagi menzahirkan satu bentuk penjenamaan pemimpin muda masa hadapan yang kita latih dari setiap fasa sejak mereka di bangku persekolahan lagi dengan melibatkan usia 15 tahun dan kemudiannya mereka telah dibawa sehingga ke hari ini, katanya.
Haswandi berkata program tersebut turut tidak terhad kepada golongan tertentu sahaja malah terbuka kepada pelbagai jenis latar belakang.
“Sekolah harian, sekolah asrama penuh, MRSM, malah kita juga terlibat dengan sekolah-sekolah di bawah penyeliaan JAKIM dan semua ini kita adunkan modul yang kita harap boleh kita cungkil bakat dan juga bentuk-bentuk kemahiran secara lebih terperinci, tambahnya lagi”.
Program tersebut juga bakal menyediakan pelbagai pengisian menarik antaranya sesi bicara tokoh, Komunikasi Berimpak Tinggi, lawatan institusi, Bicara Kenegaraan, lawatan ke parlimen, Bicara Alumni MFLS, karnival sukan, kesukarelawanan, Asean Cultural Heritage dan Explorace City Race.
Menerusi program ini, peserta turut berpeluang untuk bertemu dengan tokoh-tokoh kepimpinan negara seperti Yang di-Pertua Negeri, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Barisan Menteri mahupun Timbalan Menteri.
Sementara itu, salah seorang peserta program MFLS Tier 3, Muhammad Hasif Syahir berkongsi rasa bertuah kerana dapat turut serta sehingga ke fasa itu.
“Sebagai pelapis kepimpinan negara, elemen kepimpinan ini sangat penting bagi kami dan untuk memupuk ilmu kepimpinan itu ia memerlukan satu kemahiran yang boleh dididik dan platform MFLS inilah platform yang sangat baik.
‘Kami sangat bersyukur dan berterima kasih kepada Akademi Kenegaraan Malaysia dan mengharapkan agar program berkualiti seumpama ini dapat dikekalkan," katanya.
Program MFLS Tier 3 sedang berlangsung bermula 12 Mei lalu sehingga 26 Mei bertempat di Pusat Belia Antarabangsa (IYC).
Selepas ini, para belia berpeluang mengikuti program di peringkat antarabangsa menerusi program MFLS GO Global bagi memenuhi elemen pengantarabangsaan.
#akm
#MFLS
#Ketua Pengarah AKM
#Mohd Haswandi Ahmad
#Malaysia Future Leaders School
#Akademi Kenegaraan Malaysia