MFLS latih 26,000 anak muda dalam enam bulan - Syed Saddiq

Wan Syamsul Amly
November 25, 2019 13:43 MYT
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman berkata, inisiatif itu melatih anak muda supaya berfikiran kritis dan bergaya kepimpinan. - Gambar fail
Pelaksanaan Malaysia Future Leaders School (MFLS) berjaya melatih 26,000 anak muda di 22 buah Kem Wawasan di seluruh negara dalam tempoh masa enam bulan.
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman berkata, inisiatif itu melatih anak muda supaya berfikiran kritis dan bergaya kepimpinan.
Selain itu, pelaksanaan dana belia atau geran belia telah direformasikan di mana ia tertumpu kepada pelaksanaan program dan bukan sahaja kepada dana pentadbiran semata-mata.
“Kementerian juga memberikan matching incentive kepada pertubuhan-pertubuhan belia yang merangkumi lebih banyak wanita, membawa masuk lebih ramai kepimpinan belia di bawah 30 tahun dan pada masa yang sama mempunyai kepimpinan berbilang bangsa juga agama,” katanya.
Syed Saddiq berkata demikian ketika menjawab soalan Yamani Hafez Musa (PH-Sipitang) yang bertanya menyatakan apakah perancangan untuk agenda pembangunan belia secara menyeluruh, termasuk penyediaan kemudahan sukan di luar bandar.
MFLS adalah program baharu menggantikan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan Biro Tatanegara (BTN) yang dirangka secara holistik dengan menggabungkan kegiatan dalaman dan luaran yang berimpak tinggi.
Dalam pada itu jelasnya, kementeriannya juga akan melipat gandakan usaha untuk mencungkil kepimpinan anak muda melalui program Felo Perdana, Felo Korporat dan juga parlimen belia pada tahun hadapan.
Tambahnya, ia akan diambil dari kategori sekolah dan juga wanita khususnya untuk memastikan supaya suara mereka tidak akan disampingkan
Sementara dalam membangunkan sukan luar bandar, Syed Saddiq berkata, kementeriannya akan memperhebatkan agihan infra sukan di kawasan yang mempunyai kumpulan belia berisiko yang paling tinggi.
#Malaysia #Malaysia Future Leaders School #Menteri Belia dan Sukan #MFLS #Parlimen #Syed Saddiq Abdul Rahman
;