MFLS ganti BTN, PLKN, fasa pertama mulai Jun - Syed Saddiq

Rahimah Abdullah
Februari 27, 2019 06:15 MYT
Fasa pertama pelaksanaan Program Sekolah Kepemimpinan Masa Depan Malaysia (MFLS) dijangka bermula Jun tahun ini, ujar Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman kepada Astro AWANI selepas menjadi Tetamu Agenda AWANI pada Rabu.
Fasa pertama pelaksanaan Program Sekolah Kepemimpinan Masa Depan Malaysia (MFLS) dijangka bermula Jun tahun ini, ujar Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman.
Jelasnya, ketika ini program yang menggantikan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan Biro Tata Negara (BTN) itu berada dalam peringkat 80 peratus siap sebelum dilancarkan pada April.
Kementeriannya juga telah menjalankan lima program pilot pada tahun lalu yang disifatkan berjaya.
"Jadi sekarang untuk terakhir ini kita nak rancang pelancarannya dan untuk memulakan fasa satu. Fasa satu kita nak masuk peringkat sekolah, peringkat dua dan lain-lain. Saya rasa sekarang sudah 80 peratus siap.
"Jadi, mungkin kita akan lancarkan pada April. Dan Jun kita akan mula dengan fasa satu. Kemudian ke fasa dua, tiga dan empat," katanya kepada Astro AWANI selepas menjadi tetamu Agenda AWANI yang disiarkan secara langsung di saluran 501.
Program berkenaan melibatkan empat fasa pelaksanaan.
Bagi fasa pertama, ia akan bermula di peringkat sekolah iaitu melibatkan pelajar berumur 15 dan 17 tahun.
"Anugerah Remaja Perdana akan dilaksanakan melibatkan mereka yang mempunyai tahap akademik yang paling baik, ko-kurikulum paling baik, semangat sukarelawan paling baik. Jadi, daripada yang terbaik ini hanya 30,000 orang sahaja akan tersenarai," jelasnya.
30,000 pelajar yang terpilih akan dimasukkan ke dalam fasa kedua ke dalam satu kem yang menyaksikan mereka akan dilatih dengan kursus kepimpinan, pengucapan awam, dan sebagainya.
"Sambil melatih mereka, setiap modul akan menilai mereka kerana tamat dua minggu, kita akan sistem skor," katanya.
Hanya 200 orang yang akan tersenarai dalam fasa tiga dan dilatih dalam masa lapan bulan.
"Dalam tempoh lapan bulan ini, mereka akan dilatih di bawah jemaah menteri, tokoh korporat, Ketua Pegawai Eksekutif, akan latih terus mereka kerana kita nak latih mereka jadi pemimpin." tambahnya.
Akhirnya, pada fasa empat mereka akan dimasukkan ke dalam program-program seperti MyCORE, Perdana Fellowship dan lain-lain bagi melahirkan pemimpin masa depan.
Syed Saddiq turut memberi jaminan MLFS tidak sama seperti PLKN dan BTN selain tidak terlibat dengan politik.
"MFLS sangat berlainan, tiada lagi kepentingan politik atau partisan politik. Kita betul-betul ikhlas ingin melahirkan kepimpinan anak muda yang bakal menerajui negara.
"Kalau kita lihat di Jepun ada Japanese Future Leader School. Setiap tahun, Tun Dr Mahathir Mohamad akan pergi ke sana untuk bersyarah kepada mereka, dalam 200 yang terbaik, di mana, akhirnya mereka akan menjadi menteri, Ketua Pegawai Eksekutif, Pengerusi.
"Dan ia panggil tokoh-tokoh dunia untuk bersama melatih mereka," kata Syed Saddiq.
#agenda #Agenda Awani #anak #Astro #Astro Awani #Belia #Jepun #Mahathir Mohamad #Malaysia #menteri #pelajar #politik #remaja #school #sekolah #sukan
;