MEWA kaji laksana projek tebatan banjir lebih efektif - Dr Ahmad Masrizal

Astro Awani
Julai 27, 2020 20:52 MYT
Dr Ahmad Masrizal (empat dari kanan) melihat bilik operasi ketika membuat lawatan kerja ke Pusat Kawalan SMART, JPS Malaysia dan Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara, Ampang. Foto: MEWA
Kerajaan sedang mengkaji projek tebatan yang lebih efektif bagi menangani masalah banjir terutama di kawasan pusat bandar di seluruh negara.
Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air (MEWA), Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad, berkata antara yang dikaji termasuk keperluan untuk meningkatkan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) khususnya garis panduan sistem saliran yang lebih efektif di kawasan pentadbiran mereka.
"Kajian itu termasuk perancangan mendalamkan sungai dan memperkukuhkan struktur tebatan air atau ban sedia ada.
"Itu elemen fizikalnya, yang lain seperti hujan lebat berterusan selama tiga jam kita tidak boleh kawal perkara itu.
"Selain itu, pelaksanaan tebatan di luar dan dalam bandar juga berbeza," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Isnin.
Terdahulu, Dr Masrizal mengadakan lawatan di Pusat Kawalan SMART serta Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) di Kuala Lumpur hari ini.
Hadir sama Ketua Pengarah JPS Datuk Ir Nor Hisham Mohd Ghazali.
Ahmad Masrizal turut memaklumkan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sudah memasang sebanyak 472 stesen siren di beberapa lokasi tertentu bagi menghadapi kejadian banjir kilat ketika musim angin barat daya ini.
"Stesen ini akan mengesan dan mengeluarkan amaran banjir kepada penduduk sekitar untuk mereka menyelamatkan diri dan harta benda," jelasnya.
Dalam pada itu, Dr Masrizal berkata, kementeriannya turut bekerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam kajian berkenaan selepas ada laporan kekerapan kejadian banjir di kawasan perumahan.
Dalam perkembangan berkaitan jelasnya, Terowong Lebuhraya SMART sejak 2007 membantu kerajaan mengelakkan kerugian berjumlah RM1.4 bilion akibat banjir teruk.
Tambahnya, SMART adalah untuk pengguna di kawasan berdekatan seperti Dataran Merdeka dan Masjid Jamek.
"SMART mempunyai dua fungsi berbanding terowong lain yang hanya berperanan untuk selesaikan isu banjir. Ia adalah antara 10 terowong terbaik di dunia dan turut mengurangkan kesesakan lalu lintas di pusat bandar," ujarnya.
#banjir #Kajian #MEWA #projek tebatan banjir #Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air
;