MetMalaysia tamatkan amaran hujan berterusan
Astro Awani
Disember 19, 2021 21:39 MYT
Disember 19, 2021 21:39 MYT
KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MeTMalaysia) menamatkan amaran hujan berterusan untuk negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kelantan, Terengganu dan Pahang yang dikeluarkan pada 11.30 pagi Ahad.
Menurut Ketua Pengarah MET Malaysia, Muhammad Helmi Abdullah keadaan cuaca di negeri-negeri berkenaan dijangka bertambah baik.
"Orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman wab rasmi Jabatan, aplikasi mobil myCuaca dan laman media sosial rasmi Jabatan.
"Talian hotline MET Malaysia 1-300-22-1638 boleh dihubungi bagi sebarang pertanyaan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad malam.
Dalam pada itu, situasi banjir yang melanda di beberapa negeri bertambah buruk pada sebelah petang apabila lebih 34,000 orang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS), berbanding lebih 21,000 orang pada tengah hari tadi.
Setakat ini, kejadian banjir susulan fenomena musim Monsun Timur Laut itu telah mengorbankan satu nyawa manakala dua lagi dilaporkan hilang dan dikhuatiri dihanyutkan arus deras di Pahang.