MetMalaysia keluar nasihat taufan Doksuri

Bernama
Julai 24, 2023 04:18 MYT
Berdasarkan pencerapan pada 5 pagi, taufan tersebut bergerak ke arah barat laut dengan kelajuan 15km/j dan kelajuan angin boleh mencapai maksimum 130km/j. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan nasihat mengenai taufan Doksuri yang berada di kedudukan 1,424 kilometer (km) ke timur laut Sandakan, Sabah.
Dalam kenyataan hari ini, MetMalaysia memaklumkan taufan itu kini berada di kedudukan kira-kira 430km ke timur laut Pulau Samar, Filipina.
Jabatan itu turut memaklumkan berdasarkan pencerapan pada 5 pagi, taufan tersebut bergerak ke arah barat laut dengan kelajuan 15km/j dan kelajuan angin boleh mencapai maksimum 130km/j.
MetMalaysia bagaimanapun berkata taufan Doksuri tidak menimbulkan sebarang ancaman besar kepada Malaysia.
-- BERNAMA
#MetMalaysia #taufan Doksuri #Amaran Cuaca #Sabah