MetMalaysia keluar amaran angin kencang, hujan lebat di Lembah Klang

Nickyson Nyambar
Mei 19, 2023 20:03 MYT
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang melibatkan sejumlah kawasan sehingga 10 malam ini. - Gambar fail
KUALA LUMPUR : Beberapa kawasan di seluruh negara termasuk Lembah Klang mengalami hujan lebat dan angin kencang, pada Jumaat.
Berdasarkan tinjauan di Twitter rasmi Astro AWANI sekitar jam 7.30 malam ini, ada pengguna yang mendakwa hujan lebat disusuli guruh itu turut mengakibatkan kawasan rumah mereka terjejas sehingga bumbung tercabut.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam pada itu turut mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang melibatkan sejumlah kawasan sehingga 10 malam ini.
"Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
"Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran," katanya dalam kenyataan pada hari ini.
Antara kawasan yang terlibat termasuk di Kemaman (Terengganu), Bentong (Pahang), Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak, Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat serta Sepang di Selangor.

Kami terima maklumat, kejadian hujan lebat dan angin kencang berlaku di sekitar KL & Selangor. Tempat anda ok? Kongsikan foto atau video anda kepada kami.#AWANInews pic.twitter.com/LhqSQYLWSa

— Astro AWANI (@501Awani) May 19, 2023
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Sementara itu, amaran sama turut dikeluar melibatkan Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan.
Antara lain, Negeri Sembilan melibatkan Jelebu, Seremban, Port Dickson, Kuala Pilah, Rembau serta Tampin. Di Melaka melibatkan daerah Jasin, di Johor pula melibatkan tiga kawasan iaitu di Tangkak, Segamat dan Muar.
Di Sarawak tujuh daerah iaitu di Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Kapit, Bintulu dan Limbang turut dibadai hujan lebat dan angin kencang.
Di Sabah pula melibatkan Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort, Nabawan, Ranau, Sandakan, Tongod, Telupid, Beluran dan Kudat.
Astro AWANI akan terus memantau keadaan semasa hujan lebat yang berlaku ketika ini dan membawakan kemas kini terbaharu berkenaan situasi ini.
#hujan lebat #angin kencang #Amaran Cuaca #met malaysia
;