METMalaysia diarahkan perbaiki kekerapan amaran cuaca

Astro Awani
September 26, 2024 10:00 MYT
Nik Nazmi mengarahkan METMalaysia menyemak semula SOP bagi penyebaran maklumat, nasihat dan amaran cuaca bertujuan memastikan kemas kini lebih kerap dikeluarkan semasa tempoh cuaca melampau yang dijangka berlaku. - Gambar fail Bernama
KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) telah diarahkan menyemak semula prosedur operasi standard (SOP) bagi penyebaran maklumat, nasihat dan amaran cuaca.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, langkah ini bertujuan memastikan kemas kini lebih kerap dikeluarkan semasa tempoh cuaca melampau yang dijangka berlaku.
“Ini bagi memastikan orang awam lebih cakna terhadap keadaan cuaca semasa dan sekali gus dapat mengelakkan kejadian yang tidak diingini,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis.
Beliau turut mengakui kejadian ribut dan hujan lebat baru-baru ini telah menyebabkan banyak kes pokok tumbang, banjir serta kerosakan harta benda awam terutama di kawasan utara.
Katanya, fasa peralihan monsun telah bermula minggu ini dan dijangka berterusan sehingga awal November.
“Permulaan fasa ini menandakan berakhirnya Monsun Barat Daya yang telah bermula sejak 17 Mei 2024.
“Semasa fasa peralihan Monsun, rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah,” ujar beliau.
Tambah Nik Nazmi, situasi ini boleh menggalakkan kejadian ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat beserta angin kencang dalam jangka masa yang singkat.
Katanya, fenomena ini berlaku terutama pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak.
Dalam masa sama, Nik Nazmi menasihati orang awam agar sentiasa berwaspada dalam tempoh ini dan peka terhadap ramalan cuaca serta amaran yang dikeluarkan oleh METMalaysia.
#Amaran Cuaca #MetMalaysia #Nik Nazmi Nik Ahmad #Monsun Barat Daya
;