Meta padam akaun FB, IG jadi pusat 'troll', sebahagiannya didakwa ada kaitan dengan PDRM

Astro Awani
Ogos 5, 2022 17:39 MYT
Laporan itu mendakwa jaringan itu berasal dari Malaysia dan menjadikan audiens domestik di negara ini sebagai sasaran. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR : Syarikat konglomerat media, Meta, menyatakan bahawa ada kemungkinan campur tangan pihak polis di sebalik penutupan lebih daripada 600 akaun Facebook dan Instagram di Malaysia, kerana menjadi platform ‘troll farm’.
Istilah itu merujuk kepada laman sosial yang diwujudkan untuk menjejaskan dan memanipulasi wacana awam menerusi akaun-akaun palsu.
Laporan dari syarikat itu juga mendedahkan bahawa akaun-akaun itu dipercayai telah dipadam kerana melanggar polisi koordinasi perlakuan tidak sahih (Coordinated Inauthentic Behaviour - CIB) , yang dipercayai berhubung kait dengan pasukan polis.
Sejumlah 596 akaun, 180 laman ‘Pages’ dan 11 ‘Group’ telah dipadam dari Facebook sementara 72 akaun telah ditutup dari Instagram kerana menjadi sebahagian daripada jaringan itu.
Laporan itu mendakwa jaringan itu berasal dari Malaysia dan menjadikan audiens domestik di negara ini sebagai sasaran.
"Individu-indivu di sebalik jaringan itu mengendalikan ‘troll farm’, iaitu usaha terkoordinasi oleh pengendali untuk merosak atau memanipulasi wacana awam dengan menggunakan akaun-akaun palsu, untuk mengelirukan orang ramai tentang siapa di belakang mereka,” menurut laporan itu.
Tambahnya, individu-individu itu aktif di platform media sosial, termasuk Facebook, TikTok, Twitter dan Instagram, dan menghantar meme dalam bahasa Melayu untuk menyokong gabungan kerajaan semasa, selain dakwaan-dakwaan serta kritik mengenai rasuah.
"Di Facebook, jaringan ini mengendalikan Pages, termasuk yang menunjukkan diri sebagai entiti berita bebas, dan menyebelahi polis sambil mengkritik pihak pembangkang. Secara amnya, hantaran-hantaran itu meningkat pada hari kerja, dan pada waktu rehat tengah hari,” jelas laporan itu.
Bagaimanapun, laporan itu juga menyatakan bahawa akaun-akaun palsu itu tidak sepenuhnya disiapkan dan terdapat juga yang menggunakan gambar profil yang dicuri.
"Ada sebahagiannya yang kami kesan dan telah dipintas sistem automatik kami. Kami mengenal pasti jaringan itu selepas menilai maklumat tentang sebahagian kecil aktiviti berkenaan disyaki berasal dari China, oleh penyelidik di Universiti Clemson.
"Walaupun pihak yang berselindung itu cuba menyembunyikan identiti dan koordinasi, siasatan kami menemui kaitan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” kata laporan tersebut.
Laporan itu juga menambah, beberapa 'Pages' itu turut diikuti oleh 427,000 akaun.
Astro AWANI sedang mendapatkan maklum balas daripada pihak PDRM berkenaan perkara ini.
#Meta #akaun palsu #Facebook #polis
;