Meta mohon maaf kesilapan teknikal ucapan Istiadat Pertabalan Agong

Astro Awani
Julai 22, 2024 11:56 MYT
Frankel dalam masa sama turut memohon maaf kepada RTM, Majlis Negeri Johor, dan pihak lain yang terkesan dengan insiden berkenaan - Foto/Facebook Meta
KUALA LUMPUR: Meta Platforms Inc (Meta) memaklumkan telah menyelesaikan kesilapan teknikal melibatkan ucapan Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 dan ulang tahun Che' Puan Mahkota Khaleeda Johor.
Pengarah Dasar Awam, Asia Tenggaranya, Rafael Frankel dalam satu kenyataan hari ini berkata, insiden tersebut berlaku disebabkan terjemahan automatik daripada Bahasa Malaysia ke Bahasa Inggeris.
Tegas beliau, pihak Meta menghormati sepenuhnya Keluarga Diraja Malaysia.
"Kami telah menyelesaikan kesilapan teknikal ini," katanya dalam kenyataan itu.
'ucap takziah' sempena Istiadat Pertabalan Agong
Frankel dalam masa sama turut memohon maaf kepada Radio Televisyen Malaysia (RTM), Majlis Negeri Johor, dan pihak lain yang terkesan dengan insiden berkenaan.
Semalam RTM menjelaskan bahawa pihaknya tidak memuat naik sebarang maklumat rasmi dalam bahasa Inggeris berhubung Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Istana Negara pada Sabtu, seperti yang ditularkan.
Bahagian Perhubungan Awam Jabatan Penyiaran Malaysia dalam kenyataan memaklumkan bahawa apa yang dipaparkan di laman Facebook Rasmi RTM adalah terjemahan automatik oleh sistem Facebook.
#Pertabalan Yang Dipertuan Agong #Meta #Che' Puan Mahkota Khaleeda Johor #Facebook Rasmi RTM