Mesyuarat perwakilan dan pemilihan sayap UMNO bermula
Bernama
Oktober 12, 2013 09:09 MYT
Oktober 12, 2013 09:09 MYT
Mesyuarat perwakilan dan pemilihan pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno bermula serentak di 191 bahagian pada 8 pagi tadi.
Mesyuarat perwakilan akan ditangguh kemudian untuk memberi laluan kepada proses pemilihan pemimpin di peringkat bahagian dan pusat ketiga-tiga sayap itu.
Ketika proses pengundian itu, setiap perwakilan akan diberikan dua set kertas undi untuk memilih pemimpin mereka di peringkat bahagian dan pusat.
Ini merupakan kali pertama anggota akar umbi diberi suara lebih besar dalam pemilihan Umno berikutan pindaan Perlembagaan parti yang dibuat pada 2009 ke arah menjadikan parti itu lebih telus, demokratik serta membasmi gejala politik wang.
Kira-kira 230,000 perwakilan diberi hak memilih pemimpin sayap masing-masing di peringkat bahagian dan pusat berbanding 2,500 perwakilan sebelum ini.
Selepas selesai proses pengundian dijangkakan 1 tengah hari, perwakilan akan meneruskan semula mesyuarat mereka sementara proses pengiraan undi dijalankan.
Pemilihan kali ini menyaksikan 110,765 perwakilan Wanita, kira-kira 70,000 Pemuda dan kira-kira 50,000 Puteri akan melaksanakan tanggungjawab masing-masing untuk memilih kesinambungan kepimpinan sayap parti itu untuk penggal 2013 hingga 2016.
Bagi pergerakan Pemuda, 94 calon disahkan layak bertanding di peringkat pusat manakala 7,125 calon di peringkat bahagian.
Bagi pergerakan Wanita pula, 51 calon layak bertanding di peringkat pusat dan 6,758 calon di peringkat bahagian.
Seramai 35 calon layak bertanding di peringkat pusat dan 4,955 calon di peringkat bahagian pergerakan Puteri.
Ibu pejabat Umno menjangkakan keputusan awal bagi pemilihan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri peringkat pusat diketahui seawal-awalnya pada pukul 8 malam ini.