Mesyuarat Peringkat Pegawai Kanan Tertinggi Pendidikan ASEAN berjalan lancar

Dania Zainuddin
Mei 24, 2016 10:50 MYT
Mesyuarat yang melibatkan ASEAN dengan China, Jepun dan Korea Selatan itu berjalan lancar. - Foto Bernama
Mesyuarat Peringkat Pegawai Kanan Tertinggi Pendidikan ASEAN berakhir dengan mencapai persetujuan bagi beberapa perkara, untuk diusul ke peringkat mesyuarat menteri pendidikan.
Antara perkara dipersetujui termasuk Deklarasi ASEAN berkaitan Pengukuhan Pendidikan Kanak-Kanak Tidak Bersekolah, Pelan Induk Pendidikan ASEAN 2016-2020 dan Rangka Kerja Rujukan Kelayakan (AQRF).
Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Tan Sri Dr. Madinah Mohamad, mesyuarat kali ini bersama China, Jepun dan Korea Selatan berjalan lancar.
Katanya, perkara yang dibincangkan antara negara anggota ASEAN dan ketiga-tiga negara itu banyak berkaitan pendidikan tinggi.
Jelasnya, melalui kerjasama antara ASEAN+3 ini, sebarang jurang antara negara-negara dalam pendidikan tinggi boleh diatasi dengan pelbagai kaedah seperti pembelajaran atas talian.
"Jadi tidak kira di mana kita berada, segala penghasilan ilmu boleh dikongsi melalui platform belajar atas talian.
"Itu merupakan salah satu bidang kerjasama yang sangat kukuh, ditawarkan oleh China, terutamanya Jepun dan Korea," kata Dr. Madinah selepas Mesyuarat Pegawai Kanan Tertinggi Pendidikan ASEAN+3 yang ketujuh di sini pada Selasa.
Sementara itu, Dr. Madinah berkata rangka kerja pendidikan pada ASEAN campur tiga yang akan berakhir pada 2017 perlu dilihat, dinilai semula dan diperbaharui untuk menyesuaikan dengan perubahan yang sudah berlaku.
#ASEAN #ASEAN3 #Madinah Mohamad #Mesyuarat Peringkat Pegawai Kanan Tertinggi Pendidikan ASEAN
;