Mesyuarat MPN: Pembukaan sempadan diumum dalam masa terdekat - Muhyiddin
Ridauddin Daud
Februari 22, 2022 13:20 MYT
Februari 22, 2022 13:20 MYT
PUTRAJAYA: Kerajaan akan mengumumkan pembukaan sempadan negara dalam masa terdekat dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini dalam proses akhir untuk memuktamadkan prosedur operasi standard (SOP) berhubung pembukaan itu.
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau berharap SOP tersebut akan memberikan sedikit kelonggaran kerana kelewatan membuka sempadan memberi kesan kepada negara.
Jelasnya, negara akan terus mengalami kerugian sekiranya sempadan masih belum dibuka dan beliau berpendapat pembukaan sempadan harus dipercepatkan.
Mengambil contoh Australia, Muhyiddin berkata negara itu terkebelakang dari segi vaksinasi berbanding Malaysia namun negara itu sudah membuka sempadannya pada Isnin.
"Kadar vaksinasi negara merupakan antara yang terbaik di dunia tapi bila nak buka sempadan, kita agak lambat. Jadi Majlis (MPN) beri pandangan, jangan terlalu lambat, kesannya tak baik untuk pemulihan negara.
"Soal Omicron, COVID-19, seluruh dunia hadapi masalah. Di Malaysia, walaupun kes meningkat, KKM memberitahu ia mampu diuruskan. Kes berat tidak begitu banyak, kadar kemasukan hospital pun masih boleh diuruskan.
"Jadi maknanya, apa pun situasi kita boleh urus. Jadi kalau boleh urus, apa masalahnya (untuk buka sempadan). Orang luar masuk ke Malaysia, buat saringan, belanja dan balik. Saya tak nampak apa sebab kenapa buka lambat," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MPN di sini pada Selasa yang turut dihadiri Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.