Mesyuarat MKT UMNO Ahad ini dijangka panas?

Fareez Azman
April 24, 2021 14:29 MYT
Intipati Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dijadualkan berlangsung pada Ahad menjadi tanda tanya sama ada terdapat keputusan tertentu akan dibuat? - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Intipati Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang dijadualkan berlangsung pada Ahad bakal menjadi tumpuan dengan ramai pemerhati tertanya-tanya sama ada sebarang keputusan penting akan dibuat atau tidak.
Sumber parti itu memaklumkan antara agenda utama mesyuarat berkenaan termasuk keputusan penangguhan pemilihan UMNO yang sepatutnya diadakan pada Jun ini memetik laporan Malaysiakini.
"Mesyuarat MKT Ahad ini akan membuat keputusan untuk menangguh pemilihan parti itu.
"Menangguhkan pemilihan parti sehingga Disember 2022 jika mendapat kelulusan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS). Itu semua akan diputuskan Ahad ini," kata sumber.
Malah difahamkan, turut akan dibincangkan berkenaan keputusan Perhimpunan Agung UMNO 2020 memutuskan kerjasama diantara parti itu dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
"Walaupun tiada dalam agenda, namun ia pasti akan dibangkitkan supaya UMNO menetapkan satu tarikh untuk menteri UMNO meletak jawatan dan ahli Parlimen menarik sokongan.
"Ada yang mahukan supaya sokongan ditarik dalam tempoh terdekat," katanya lagi.
Terdahulu, PAU 2020 pada Mac lalu membuat ketetapan untuk memutuskan kerjasama dengan Bersatu dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nanti.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika ucapan penggulungan Presiden turut memaklumkan bahawa parti itu akan menentukan satu tarikh untuk Ahli Parlimen UMNO menarik sokongan daripada Kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Dalam pada itu, difahamkan juga isu rakaman suara yang mengaitkan Presiden UMNO dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut akan dibangkitkan meskipun penafian telah dibuat oleh kedua-dua pemimpin itu.
Jelas seorang lagi sumber, perkara terbabit akan dibangkitkan bagi mendapatkan penjelasan sewajarnya berhubung ketetapan UMNO sebelum ini.
"Sudah pasti kita mahukan penjelasan sewajarnya kerana ia berkait dengan hala tuju dan ketetapan parti yang menolak sebarang kerjasama dengan PKR dan DAP.
"Presiden bukan saja perlu menyakinkan MT bahawa rakaman itu tidak benar, sudah pasti ahli MT mahukan penjelasan sewajarnya," katanya.
Astro AWANI akan memberikan perkembangan lanjut mengenai mesyuarat itu pada Ahad.
#Anwar Ibrahim #Zahid Hamidi #PPBM #UMNO #PKR #DAP #Pemilihan UMNO #pemilihan #perhimpunan #pilihan raya umum #menteri #Malaysia #PRU #Parlimen #pilihan raya #presiden #kerajaan #Politkk #mkt
;