Mesyuarat Kumpulan Kerja ADSOM buka tirai pemukiman ADMM di Pulau Pinang

Bernama
Februari 25, 2025 12:50 MYT
Sesi Pemukiman Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) dimulakan dengan Mesyuarat Kumpulan Kerja Pegawai Kanan Kementerian Pertahanan ASEAN (ADSOM WG) di sebuah hotel di Batu Feringhi, George Town, hari ini. - Gambar Bernama
GEORGE TOWN: Sesi Pemukiman Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) dimulakan dengan Mesyuarat Kumpulan Kerja Pegawai Kanan Kementerian Pertahanan ASEAN (ADSOM WG) di sebuah hotel di Batu Feringhi, di sini, hari ini.
Program yang menghimpunkan menteri pertahanan dan pegawai kanan dari kesemua 10 negara anggota ASEAN dan negara pemerhati Timor-Leste itu, akan diteruskan dengan mesyuarat dua hala sempena pemukiman berkenaan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dijadualkan mengadakan sesi tinjauan mesra hari ini pada permukiman yang berlangsung hingga 27 Feb ini.
Sebelum ini, Mohamed Khaled berkata, Pemukiman ADMM kekal sebagai platform penting untuk mempertahankan dan membincangkan pemusatan ASEAN dalam persekitaran global dan serantau yang semakin berkembang, selain menekankan kepentingan memperkukuh kerjasama dalam kalangan negara anggota ASEAN serta meneroka bidang kerjasama pertahanan baharu.
Pemukiman ADMM yang dipengerusikan Mohamed Khaled selaku tuan rumah akan diteruskan pada hari kedua esok.
Lebih 150 delegasi dari 10 negara anggota ASEAN, Timor-Leste dan Sekretariat ASEAN dijangka menghadiri pemukiman kali ini.
Pulau Pinang menjadi tuan rumah kepada 13 mesyuarat utama sepanjang Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, melibatkan perbincangan pada peringkat kerja, pegawai kanan dan menteri yang dijalankan oleh tujuh kementerian.
Pemukiman ADMM diadakan bersempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 yang bertemakan "Keterangkuman dan Kemampanan".
Malaysia menjadi tuan rumah kepada lebih 300 mesyuarat, program dan sidang kemuncak berkaitan ASEAN sepanjang tahun ini. Malaysia pernah menjadi Pengerusi ASEAN pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.
- BERNAMA
#ASEAN 2025 #ADSOM WG #pemukiman #Mohamed Khaled Nordin
;