Mesyuarat 'kopi-kopi' di Hotel Sheraton, semua pemimpin kunci mulut

Rahimah Abdullah
Februari 23, 2020 22:40 MYT
Antara kelibat pemimpin dan tokoh pelbagai parti dalam pertemuan tertutup di Hotel sheraton pada Ahad. - Astro AWANI
Ketika rakyat Malaysia tertanya-tanya tentang perjumpaan 'gempar' antara pemimpin dan Ahli Parlimen pelbagai parti dari pihak kerajaan dan pembangkang di Hotel Sheraton Petaling Jaya, pada Ahad, lain pula yang disifatkan beberapa individu yang menghadirinya.
Pertemuan antara pemimpin Bersatu, PKR, UMNO dan Pas tersebut disifatkan sebagai 'perjumpaan kopi-kopi' oleh bekas Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
"Saya datang untuk minum kopi.." Itu antara jawapan ringkas Tengku Adnan ketika ditanya tentang kehadiran beliau.
Beliau menjawab sedemikian sewaktu beliau sedang berjalan ke salah sebuah dewan, yang menjadi lokasi mesyuarat.
Sementara itu, Ketua Setiausaha Sekretariat PH, Datuk Seri Saifuddin Abdullah pula mengatakan mesyuarat tertutup di Hotel Sheraton itu hanyalah 'mesyuarat kawan-kawan'.
Hasil pemerhatian dari gelagat dan reaksi muka pemimpin yang ditemui media, hanyalah senyuman tanpa jawapan.
Namun, maklumat lanjut mengenai pertemuan tertutup berkenaan tidak didedahkan kerana pihak media hanya dibenarkan berada di luar dewan lokasi berkenaan.
Malah, kebanyakan pemimpin parti yang ditemui bertindak ‘kunci mulut’ dan hanya membalas dengan senyuman atau sekurang-kurangnya jawapan tidak ada apa-apa.
Antara pemimpin parti yang hadir pada pertemuan itu ialah Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pimpinan lain.
Namun, kelibat Perdana Menteri, yang juga Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak kelihatan.
Dr Mahathir sebelum itu melalui Pejabat Perdana Menteri menyatakan tidak akan membuat sidang media susulan pertemuan berkenaan pada Ahad.
Desas-desus mengenai sidang media yang dijangka menyusul, bagaimanapun tidak berlaku.
#Abdul Hadi Awang #Ahmad Zahid Hamidi #Bersatu #mesyuarat #Mohamed Azmin Ali #PAS #PKR #Politik Malaysia #sheraton petaling jaya #UMNO #Zuraida Kamaruddin
;