Mesyuarat khas tiga pihak mengenai MH370 minggu depan
Bernama
Jun 18, 2016 20:19 MYT
Jun 18, 2016 20:19 MYT
Mesyuarat khas tiga pihak mengenai MH370 akan diadakan sini selama dua hari mulai Isnin bagi membincangkan tindakan seterusnya bagi pencarian pesawat MH370 Malaysia Airlines yang hilang.
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi memberitahu Bernama di sini hari ini bahawa mesyuarat akan mengkaji secara terperinci isu-isu penting yang lain termasuk penemuan beberapa serpihan baru-baru ini dan input daripada pakar-pakar penerbangan.
Mesyuarat, melibatkan pegawai peringkat tinggi dari Australia, China dan Malaysia, dijangka berlangsung di Kementerian Pengangkutan di Putrajaya.
"Perkara utama dalam agenda mesyuarat ialah mengenai hala tuju masa depan untuk operasi pencarian MH370.
"Hanya pegawai tinggi akan menghadiri mesyuarat tersebut. Malaysia akan diwakili oleh Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman," kata beliau.
Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB), yang mengetuai usaha pencarian di Lautan Hindi, dijangka selesai menjalankan pencarian di kawasan seluas 120,000 kilometer persegi menjelang akhir bulan ini.
MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal hilang dari imbasan radar ketika dalam penerbangan ke Beijing dari Kuala Lumpur pada 8 Mac 2014.
Penerbangan pesawat malang itu dilaporkan telah berakhir di selatan Lautan Hindi.