Mesyuarat Khas Parlimen: Tindakan kerajaan gagal bendung COVID-19 - Dr Mahathir

Ridauddin Daud
Julai 26, 2021 15:05 MYT
Menurut Dr Mahathir, sekiranya urusan COVID-19 diserahkan kepada badan profesional, beliau yakin negara dapat membendung penyakit tersebut. - Gambar Jabatan Penerangan Malaysia
KUALA LUMPUR: Semua tindakan yang dilakukan kerajaan sebelum ini terbukti gagal mengurangkan kes baharu COVID-19 sehingga menyebabkan angka kes baharu kini mencecah 17,000 sehari.
Tun Dr Mahathir Mohamad (Pejuang - Langkawi) berkata, sekiranya keadaan sebegitu berlaku di luar negara, pasti kerajaan sudah jatuh atau pemimpinnya meletak jawatan.
Secara berseloroh, Dr Mahathir berkata sebagai individu yang pernah meletakkan jawatan dua kali, apalah sangat kalau letakkan jawatan sekiranya memang terbukti gagal.
“Sepatutnya kerajaan berikan perhatian kepada masalah yang dihadapi rakyat tetapi nampaknya duit sebanyakRM350 bilion yang dibelanjakan kerajaan, kita tak nampak apa kesan daripadanya.
“Inilah masalah yang dihadapi negara kita kerana kita mempunyai sebuah kerajaan yang ramai rakyat anggap sudah pun gagal,” katanya pada sidang Mesyuarat Khas, Penggal Ketiga Parlimen Keempat Belas di sini pada Isnin.
Tambah beliau, sekiranya urusan COVID-19 diserahkan kepada badan profesional, beliau yakin negara dapat membendung penyakit tersebut.
Kerajaan tidak memberi perhatian serius peningkatan kes - Tun M
IKUTI SISI TV PARLIMEN DI SINI
[LAPOR LANGSUNG] Sidang Mesyuarat Khas Parlimen
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum itu dalam mesyuarat khas itu mengakui, kerajaan sedia ada bukanlah kerajaan yang sempurna.
Namun katanya,, kerajaan pimpinannya tidak berpeluk tubuh membiarkan rakyat menderita, malah sentiasa bergerak dan bertindak untuk menyelamatkan nyawa dan kehidupan rakyat.
Apa yang penting, tegas Muhyiddin, semua pihak mesti bersolidariti dalam menghadapi zaman yang sukar ini.
“Tidak usahlah kita berbalah dan menuding jari. Kerana di sana ada rakyat yang jiwanya sengsara, ada bapa yang tenggelam punca, ada anak yang menderita, manakala frontliners kita terus terbeban dan hospital semakin tertekan.
“Marilah kita berganding bahu, mencari berkat dan meraih jaya pada setiap usahasama. Bulat air kerana pembentung, bulat kita kerana muafakat. Bersatu kita pasti teguh, bercerai kita roboh,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian sewaktu menerangkan tentang Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada Mesyuarat Khas, Penggal Ketiga Parlimen Keempat Belas yang bermula hari ini.
#COVID-19 #gagal #kerajaan #Perdana Menteri #PM #Dr Mahathir Mohamad #ahli Parlimen #Langkawi #Mahathir Mohamad #Muhyiddin Yassin #Parlimen #PPN #kabinet #Dewan Rakyat #Mesyuarat Khas Parlimen
;