Mesyuarat Khas Parlimen: Tak perlu siasat jika laporan bertujuan tambah baik PPV - Khairy

Ridauddin Daud
Julai 28, 2021 17:04 MYT
Menurut Khairy, anggap laporan itu sebagai satu perkara lepas yang telah dibuat dalam semangat untuk menambah baik program PICK. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Tidak perlu diadakan siasatan kepada sesiapa sahaja yang membuat laporan bertujuan untuk tambah baik perkhidmatan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
Pandangan itu disuarakan Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada sesi penggulungan pada Mesyuarat Khas Parlimen Penggal Ke-14 pada Rabu.
Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap pertanyaan Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (Tuaran - UPKO) sebelum itu.
“Saya sedia maklum kes ini. Walaupun keputusan untuk disiasat atau untuk dituduh itu di luar lingkungan tugas saya, secara semangatnya saya setuju dengan Yang Berhomat.
“Tidak perlu diadakan siasatan kepada sesiapa yang buat laporan untuk tambah baik PPV dan saya akan bincang dengan badan-badan dan pihak berkuasa berkaitan untuk pastikan kita biar sahajalah apa yang telah berlaku.
“Anggap ia sebagai satu perkara lepas yang telah dibuat dalam semangat untuk menambah baik program PICK kita,” katanya.
LAPOR LANGSUNG SIDANG KHAS PARLIMEN DI SINI
IKUTI SISI TV PARLIMEN ASTRO AWANI DI SINI
Mana-mana vaksin adalah vaksin yang bagus untuk anda - Khairy
Baru-baru ini media melaporkan ketua pengarang portal berita kesihatan, CodeBlue sedang disiasat polis berhubung satu artikel mengenai kes COVID-19 di sebuah PPV disembunyikan.
CodeBlue pada Isnin berkata, Ketua Pengarangnya, Boo Su-Lyn dipanggil untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam petang tadi.
#Khairy Jamaluddin #Parlimen #PICK #PPV #Pusat Pemberian Vaksin #COVID-19 #vaksin #siasatan #codeblue #kesihatan
;