Mesyuarat Khas Parlimen: 'Rakyat mati, rumah hanyut... kita pilih pergi umrah' - Anwar
Hasimi Muhamad
Januari 20, 2022 14:07 MYT
Januari 20, 2022 14:07 MYT
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa terdapat menteri Kabinet yang 'hilang' ketika rakyat ditimpa musibah banjir, baru-baru ini.
Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, bahkan ada yang memilih untuk melaksanakan umrah berbanding mengutamakan nyawa rakyat.
"Tidak dinafikan mesyuarat diadakan tetapi banyak menteri hilang, tidak dilihat di lapangan, dan betul Perdana Menteri ada tetapi menteri hilang.
"Ini bukan saya sebut di sini... selepas sidang Parlimen, saya beritahu PM, ada yang memilih untuk pergi menjalani umrah. Rakyat mati, rumah hanyut.. dan kita pilih untuk melaksanakan umrah. Hal-hal ini mesti dibetulkan, dan beri penjelasan kepada rakyat supaya perkara ini tidak berulang.
"Kalau pun pergi (umrah) sebelum itu, balik segera lah kerana tanggungjawab kita sebagai menteri. Ini tidak, orang di sini hanyut.. mati, di sini (Mekah) kita Labbaikallah (laungan umrah). Saya bukan nak remehkan keperluan umrah tetapi saya nak beritahu keutamaan," katanya pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat berkenaan bencana banjir hari ini.
Bagaimanapun, dakwaan Anwar menimbulkan reaksi daripada Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
"Saya akan jawab nanti... biar faham situasi dan keadaan. Jangan duk tuduh sembarangan... banding umrah dengan main salji, mana lagi penting," jawab Ibrahim.
Difahamkan, Tuan Ibrahim berada di Mekah kerana menunaikan umrah ketika banjir berlaku.