Mesyuarat Khas Parlimen: Pembangkang usul rujuk Takiyuddin ke Jawatankuasa Hak

Astro Awani
Julai 28, 2021 04:12 MYT
Takiyuddin memaklumkan kerajaan telah memutuskan pada 21 Julai lalu untuk tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menyambung Proklamasi Darurat. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen pembangkang mengemukakan usul supaya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.
Usul tersebut diajukan oleh Gobind Singh (PH-Puchong) dan Mohamed Hanipa Maidin (PH-Sepang) susulan pemakluman berkenaan darurat dan ordinan yang disifatkan mengelirukan Dewan Rakyat.
Katanya, ia mengikut Peraturan Mesyuarat 36(12) dan perkara sama turut dibangkitkan Hanipa Maidin (Amanah-Sepang).
Gobind turut meminta satu keputusan dibuat segera bagi menentukan perjalanan sidang yang berlangsung selama lima hari hingga 2 Ogos ini.
"Saya sendiri yang failkan tadi dan saya sendiri yang jumpa tuan Speaker pada masa itu.
"Saya minta petua bagaimana keputusan boleh dibuat dan adakah kita dibenarkan untuk bahas usul ini.
"Jika tidak saya akan terus berhujah kerana usulnya sudah ada," katanya.
Timbalan Yang di-Pertua, Datuk Rashid Hasnon (PN-Batu Pahat) kemudian berkata Pejabat Speaker akan memberi maklum balas kemudian.
Sebelum ini, Takiyuddin memaklumkan kerajaan telah memutuskan tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menyambung Proklamasi Darurat sebaik sahaja tamat pada 1 Ogos ini.
Kata Ahli Parlimen Kota Bharu itu, perkara tersebut telah diputuskan pada 21 Julai lalu.
Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen bertanggungjawab memutuskan setiap isu yang mempengaruhi kuasa dan hak istimewa Dewan dan mempunyai kuasa memberi sekatan kepada setiap anggota Parlimen berhubung pelanggaran seperti membuat kenyataan mengelirukan atau menghina di Parlimen.
#Dewan Rakyat #Kota Bharu #Parlimen #Yang di-Pertuan Agong #Takiyuddin Hassan #Ordinan Darurat #Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen