Mesyuarat Khas Parlimen: Isu kesihatan awam, tindakan tangani COVID-19 tumpuan hari kedua
Bernama
Julai 27, 2021 08:45 MYT
Julai 27, 2021 08:45 MYT
KUALA LUMPUR: Isu kesihatan awam dan tindakan menangani pandemik COVID-19 yang melanda negara menjadi tumpuan utama pada hari kedua Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14, hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, perkara itu akan diperjelaskan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba, disusuli sesi ahli-ahli Parlimen mengemukakan persoalan penjelasan lanjut dan cadangan sebelum dijawab menteri berkenaan.
Antara topik yang dijangka diketengahkan termasuk langkah mitigasi menangani peningkatan kes, penambahan kapasiti di fasiliti kesihatan awam seluruh negara dan kebajikan petugas kesihatan.
Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 berlangsung selama lima hari, bermula semalam sehingga 29 Julai dan 2 Ogos.
Pada sidang khas itu, kesemua 220 Ahli Parlimen termasuk yang belum divaksin dibenarkan hadir ke Dewan Rakyat dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, termasuk perlu menjalani ujian saringan COVID-19 serta memakai pelitup muka.
-- BERNAMA
#Mesyuarat Khas Parlimen
#Isu kesihatan awam
#tindakan menangani pandemik
#Adham Baba
#Penggal Ketiga Parlimen
#Dewan Rakyat
#COVID-19
#pandemik
#petugas kesihatan
#ujian saringan