Mesyuarat Khas Parlimen: Hanya 72 petugas media dibenarkan masuk dewan - Azhar
Wan Syamsul Amly
Julai 25, 2021 20:19 MYT
Julai 25, 2021 20:19 MYT
KUALA LUMPUR: Jumlah petugas media dihadkan kepada 72 orang bagi liputan Mesyuarat Khas Parlimen yang bermula esok, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat susulan kebimbangan dengan situasi semasa penularan COVID-19 termasuk varian Beta dan Delta yang kini berada dalam komuniti di beberapa kawasan di negara ini.
Jelasnya, Parlimen akan memperkenalkan dan menyediakan kemudahan platform sidang media secara hibrid dan sesi temu bual interaktif secara eksklusif dengan ahli-ahli Dewan Rakyat melalui aplikasi Zoom.
"Kita ada banyak inovasi penambahbaikan kali ini, antaranya kita sediakan dua terminal dan kita akan sediakan Zoom link, mana-mana Ahli Parlimen yang ingin membuat sidang media boleh beritahu pihak media link tersebut dan boleh secara virtual sahaja.
"Jadi pihak media yang tidak dapat hadir secara fizikal pun boleh mengambil bahagian di dalam sidang media tersebut," katanya semasa sidang media secara maya.
Dalam pada itu Azhar berkata, pihak media boleh menghubungi Setiausaha Akhbar Yang Dipertua Dewan Rakyat atau Bahagian Komunikasi Korporat (BKK) Parlimen sekiranya ingin mengadakan sesi interaktif bersama mana-mana Ahli Parlimen.
Tambahnya, mana-mana ahli Parlimen juga boleh berbuat demikian untuk berinteraksi secara eksklusif dengan mana-mana wakil media sama ada secara berkumpulan atau individu.
#Dewan Rakyat
#Parlimen
#COVID-19
#Media
#interakrif
#BKK
#sidang khas
#petugas media
#agensi berita
#Azhar Azizan Harun
#Mesyuarat Khas Parlimen