Mesyuarat Khas Parlimen: Cari pasal atau teroka sepakat? 'Dialog Tiga Penjuru' 8.30 malam ini di Astro AWANI

Astro Awani
Julai 28, 2021 18:08 MYT
Bagaimana untuk mempertemukan titik persamaan di dalam perbezaan antara ahli-ahli politik kita? - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Hari ketiga Mesyuarat Khas Parlimen lebih tenang berbanding hari pertama dan kedua sidang khas yang dilihat sarat dengan pelbagai perdebatan dan jeritan.
Hari ini, fokusnya sekitar isu vaksin, di mana Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar membentangkan perkembangan program tersebut, di samping soalan-soalan sampingan yang turut berbangkit.
Di luar Parlimen, perbincangan di pentas-pentas umum diteruskan untuk menilai kembali sesi mesyuarat pada masa sama memikirkan bersama input bernas yang boleh dibawa atau sepatutnya diperbincangkan di dalam Dewan yang mulia itu.
Sekiranya ada yang tidak kena dengan pengurusan pandemik ketika ini, apakah solusinya? Adakah dengan menukar kerajaan dapat menyelesaikan segala-galanya?
Minggu ini Astro AWANI mempertemukan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari; Pengasas PUSAKA, Eddin Khoo; dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil untuk meneruskan momentum diskusi di pentas arus perdana.
Memandangkan ada wakil pembangkang dalam kalangan panelis kali ini, ingin kita bertanyakan apakah rasionalnya, jika benar wujud hasrat di blok pembangkang untuk menukar kerajaan pada saat genting ini.
Jika tidak, bagaimanakah cara yang sehalus, seaman, secekap dan seefektif mungkin untuk blok-blok dalam Parlimen bersama menyelesaikan krisis tanpa perlu menidakkan satu sama lain?
Itu dan banyak lagi dalam Dialog Tiga Penjuru, di Saluran 501, Live TV di astroawani.com. dan platform media sosial Astro AWANI jam 8.30 malam ini.
#Dialog Tiga Penjuru #Eddin Khoo #Fahmi Fadzil #Ahmad Fadhli Shaari #Sidang Mesyuarat Khas Parlimen #blok pembangkang
;