Mesyuarat Khas Parlimen bincang isu Azam baki tidak wajar dipersulitkan - Anwar

Abd Hadi Che Awang
Januari 17, 2022 20:34 MYT
Anwar berkata, mesyuarat itu penting dalam memastikan Azam mendapat ruang yang secukupnya bagi memberi penjelasan dan membuat pembelaan. - Gambar/ Astro AWANI
LANGKAWI: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpandangan bahawa Mesyuarat Khas Parlimen bagi membincangkan dakwaan pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki tidak wajar dipersulitkan.
Menurutnya, ia termasuk keputusan yang dibuat untuk menangguhkan mesyuarat berkenaan yang pada awalnya dijadualkan pada 19 Januari ini.
Tambah beliau, mesyuarat itu penting dalam memastikan Azam mendapat ruang yang secukupnya bagi memberi penjelasan dan membuat pembelaan.
Sehubungan itu, Anwar berkata akan bertemu Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh dalam masa terdekat bagi membincangkan tindakan dan langkah selanjutnya susulan pembatalan mesyuarat khas itu.
"Kita pertamanya menganggap isu ini wajar diberi perhatian (memandangkan) ini sesuatu tuduhan terhadap Tan Sri Azam (Baki), dia juga wajar diberi ruang untuk memberi pembelaan atau penjelasan, jadi tidak ada sebab mengapa hal ini dipersulitkan.
"(Pada) mulanya, Yang di-Pertua Dewan (YDP) Rakyat melarang pendedahan (isu ini) kepada media, (kerana katanya ini) bidang kuasa YDP Dewan Rakyat. Sebenarnya YDP Dewan Rakyat tidak boleh diperalatkan untuk menyekat perbicaraan meluas, kerana ini hal yang melibatkan kepentingan awam, semua orang tahu (isu ini), orang di Langkawi pun tahu.
"Jadi kita akan terus bawa, saya akan bincang dengan Pengerusi PAC untuk mengambil tindakan... langkah lanjut," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Bersama Presiden PH anjuran PKR Cabang Langkawi, di Dewan Ho Peng, Kuah pada Isnin.
[TERKINI] Mesyuarat khas bincang isu Azam Baki ditangguh
Terdahulu, Mesyuarat Khas Parlimen bagi membincangkan dakwaan pemilikan saham Azam yang dijadualkan pada 19 Januari, ditangguhkan.
Menerusi surat yang dikeluarkan Setiausaha Dewan Rakyat Nizam Mydin Bacha Mydin, mesyuarat berkenaan ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian atas sebab terdapat beberapa isu perundangan yang tidak dijelaskan lanjut.
#Anwar Ibrahim #Azam Baki #Mesyuarat Khas Parlimen #PAC
;