Mesyuarat Khas Parlimen: 10 tumpuan utama sidang hari keempat

Umavathi Ramayah
Julai 29, 2021 20:44 MYT
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan usul menyatakan hilang kepercayaan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. - Gambar BERNAMA
KUALA LUMPUR: Mesyuarat Khas Parlimen hari ini kecoh selepas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim membangkitkan mengenai kenyataan Istana Negara berhubung pembatalan Proklamasi Darurat dan Ordinan Darurat.
Belum pun Ahli Parlimen Port Dickson itu habis membaca sepenuhnya kenyataan itu, Dewan Rakyat riuh dan kecoh sambil mendesak Perdana Menteri Muhyiddin Yassin meletak jawatan.
Kekecohan itu menyebabkan Dewan Rakyat terpaksa ditangguh empat kali sebelum disambung semula sekitar pukul 5.15 petang.
Hari ini, Dewan Rakyat yang berakhir kira-kira pukul 5.30 petang itu sepatutnya membahaskan pakej rangsangan ekonomi berubah kepada hal berkaitan Proklamasi Darurat dan Ordinan Darurat.
Namun demikian, Dewan berakhir tanpa sebarang jawapan balas atau penggulungan daripada Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Berikut 10 perkara yang menjadi tumpuan di Dewan Rakyat hari ini:
1. Anwar Ibrahim menghantar usul menyatakan hilang kepercayaan kepada Perdana Menteri.
2. Dewan Rakyat ditangguhkan empat kali.
3. Tiada pergulungan dan jawapan balas daripada Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.
4. Anwar Ibrahim menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Datuk Azhar Azizan Harun meletak jawatan.
5. Sidang Dewan Rakyat kecoh selepas Anwar Ibrahim membangkitkan mengenai kenyataan Istana Negara berhubung pembatalan Proklamasi Darurat dan Ordinan Darurat.
6. Sesi penerangan pakej bantuan ekonomi yang dijadual bermula jam 10 pagi tertangguh hampir satu jam selepas ramai Ahli Parlimen pembangkang kembali membangkitkan mengenai isu Proklamasi Darurat dan pembatalan ordinan.
7. Sebanyak 56 kes positif COVID-19 dikesan di Parlimen.
8. Kerajaan sedia melonggarkan peraturan had hutang untuk menyokong pelan pemulihan ekonomi berdasarkan kemampuan keberhutangan negara.
9. Sejumlah RM5.5 bilion sudah dibelanjakan melalui Kumpulan Wang COVID-19 (KWC) sehingga 30 Jun lalu.
10. Anwar Ibrahim menyifatkan penangguhan Dewan Rakyat yang ditangguhkan kerana terdapat kes positif COVID-19 cuma helah kerajaan.
Kenyataan Istana Negara: Ketua Pembangkang tuntut PM letak jawatan
#Anwar Ibrahim #COVID-19 #Dewan Rakyat #pembangkang #hilang kepercayaan #Muhyiddin Yassin #Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz #Parlimen #Perdana Menteri #Takiyuddin Hassan #kes positif