Mesyuarat Khas Kabinet tidak bincang isu bubar Parlimen - Sumber
Wan Syamsul Amly
Oktober 23, 2020 13:51 MYT
Oktober 23, 2020 13:51 MYT
KUALA LUMPUR: Mesyuarat Khas Kabinet yang berlangsung pada pagi Jumaat tidak membincangkan mengenai isu pembubaran Parlimen, Pilihan Raya Umum (PRU) atau rombakan menteri sedia ada.
Menurut sumber dari ahli Kabinet, ia hanya berkisar tentang perbincangan isu Belanjawan 2021 yang dijadual pada 4 petang, 6 November serta usaha bersepadu memerangi gelombang ketiga COVID-19.
"Isu bajet, kena tunggu Kementerian Kewangan atau Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri buat pengumuman," jelasnya ringkat melalui sistem pesanan WhatsApp, di sini hari ini.
Pembentangan Belanjawan 2021 antara yang akan mencuri tumpuan pada persidangan Dewan Rakyat yang kembali bermesyuarat selama 27 hari, mulai 2 November depan.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman web rasmi Parlimen, pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 itu dijadual dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Persidangan antara lain akan membahaskan Belanjawan di peringkat dasar, jawatankuasa dan jawapan menteri.
Menurut laman itu lagi, perbahasan RUU dan urusan kerajaan dalam topik berlainan akan berlangsung secara serentak di kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara, pada 14 Disember.
Media difahamkan mesyuarat turut membincangkan usaha kerajaan melaksana strategi pemulihan dalam membantu Sabah yang terjejas akibat COVID-19.
Selain itu, turut timbul desas-desus bahawa mesyuarat tersebut ada kaitan dengan sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Setakat ini, Astro AWANI sedang mendapatkan pengesahan dari sumber yang rapat dengan perkara ini.
#Muhyiddin Yassin
#COVID-19
#Kementerian Kewangan
#Parlimen
#Pilihan Raya Umum ke-15
#Perikatan Nasional
#Perbahasan RUU