Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen ke-14 bermula hari ini

Hafizi Rosli
Oktober 25, 2021 08:28 MYT
Mesyuarat Kedua sidang Dewan Rakyat bagi Penggal Keempat, Parlimen Keempat Belas (2021) akan bermula hari ini hingga 16 Disember. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Mesyuarat kedua sidang Dewan Rakyat bagi Penggal Keempat, Parlimen Keempat Belas (2021) bermula hari ini hingga 16 Disember.
Tumpuan pastinya terarah kepada Bajet 2022 yang akan dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz pada Jumaat 29 Oktober ini.
Berdasarkan aturan urusan mesyuarat Dewan Rakyat, persidangan akan bermula dengan sesi pertanyaan Menteri dan jawab lisan pada pukul 10 pagi.
Antara yang menjadi tumpuan adalah soalan diajukan Ahli Parlimen Libaran, Datuk Zakaria Mohd Edris kepada Perdana Menteri mengenai inisiatif yang diambil kerajaan untuk menangani isu 20 peratus isi rumah M40 beralih kepada had pendapatan di bawah kumpulan B40 akibat impak pandemik COVID-19.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut ajukan soalan kepada Perdana Menteri mengenai kesediaan kerajaan dalam memastikan kredibiliti dan integiri pentadbiran negara terpelihara susulan pendedahan Pandora Papers yang melibatkan beberapa anggota pentadbiran dan Ahli Dewan Rakyat serta bekas anggota pentadbiran negara.
Selepas itu, usul pertama dalam aturan urusan mesyuarat adalah memilih seorang Timbalan Speaker bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Datuk Seri Azalina Othman Said yang meletak jawatan pada 23 Ogos lalu.
#Parlimen #Dewan Rakyat #bajet 2022 #mesyuarat kedua
;