Mesyuarat Kabinet dipercepat, bincang isu kos sara hidup, harga barangan - PM

Hasimi Muhamad
Mei 22, 2022 10:41 MYT
Ismail Sabri pada sidang media selepas merasmikan Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka, di Kuala Lumpur hari ini. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kerajaan mempercepatkan mesyuarat Kabinet mingguan kepada Isnin (esok) bagi membincangkan mengenai kos sara hidup, peningkatan harga serta kekurangan bekalan barangan.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan juga diminta membentangkan mekanisme bagi menghadapi dan mengatasi isu-isu berkenaan.
Mesyuarat Kabinet kebiasaannya diadakan pada Rabu, setiap minggu.
“Esok saya panggil mesyuarat Kabinet untuk melihat khususnya dari segi bagaimana kita hendak mengimbangi kenaikan harga barang yang mendadak ini. Dan saya minta KPDNHEP untuk membentangkan.
“Begitu juga dengan penawaran makanan termasuk ayam, Kementerian Pertanian perlu bentang dan umumkan (mengenai) AP (Permit Import) yang dihapuskan.
"Dan saya melihat, mungkin AP-AP lain pun akan dikaji, sama ada kita akan hapuskan atau tidak. Banyak lagi AP lain yang kita akan tengok, bukan setakat makanan sahaja.
"Kita harap apabila AP dihapuskan, sekurang-kurangnya kita boleh mengurangkan tekanan dari segi kekurangan bekalan barangan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di sini, hari ini.
Mesyuarat Kabinet | Dipercepat, bincang isu kos sara hidup, harga barangan - PM
Ismail Sabri berkata, sekiranya lebih banyak pihak yang terlibat dalam perbincangan mengenai masalah tersebut, ada kemungkinan harga barangan boleh dikurangkan.
"Tetapi, kita tunggu keputusannya. Esok, semua kementerian ini akan membentangkan apakah perancangan jangka pendek dan jangka panjang.
“Sebab, kalau perang berlarutan, kesannya adalah jangka panjang. Dan kita akan tengok secara lebih lanjut,” katanya, merujuk kepada peperangan antara Rusia dan Ukraine.
Rabu lalu, kerajaan memutuskan untuk memansuhkan AP bahan makanan dari luar negara ke Malaysia, berkuat kuasa serta-merta.
BACA: Pemansuhan AP akan dapat hapus aktiviti kartel - Pakar ekonomi
BACA: Hapus AP makanan tidak kekang krisis kenaikan harga barang - Pakar Ekonomi
Sementara itu, Ismail Sabri menjelaskan, selain hal berkaitan harga barangan, mesyuarat Kabinet esok akan turut meneliti masalah bekalan ayam dan gandum yang disifatkan sebagai isu global.
“Permintaan dan penawaran kepada makanan mungkin terjejas teruk kerana satu pertiga pengeluaran gandum dunia adalah oleh Rusia dan Ukraine.
“Saya difahamkan, ada beberapa negara telah menyekat eksport di negara mereka kepada hanya untuk penggunaan dalam negara.
"Jadi, kalau dari segi teori ekonomi, permintaan melebihi penawaran tentu sahaja akan mengakibatkan harga meningkat,” ujarnya.
BACA: Bekalan terhad, harga sekilo ayam segar cecah RM12 di Lembah Klang
BACA: PPANS sahkan tiada bekalan ayam pada Sabtu
#mesyuarat Kabinet #ismail sabri yaakob #kos sara hidup #mansuh AP
;