Mesyuarat Kabinet bincang kenyataan tak betul Ahli Parlimen di Dewan Rakyat

Hasimi Muhamad
Mac 8, 2024 16:20 MYT
Fahmi berkata Jemaah Menteri hari ini menyuara teguran secara tegas terhadap kenyataan ahli Parlimen yang didakwa tidak benar dan dikeluarkan pada ketika sesi Perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat - Gambar fail
PUTRAJAYA: Jemaah Menteri hari ini menyuarakan teguran secara tegas terhadap kenyataan ahli Parlimen yang didakwa tidak benar dan dikeluarkan pada ketika sesi Perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat.
Sehubungan itu, jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, Jemaah Menteri akan berhubung dengan Pejabat Speaker Dewan Rakyat bagi membincangkan perkara tersebut, sekali gus memastikan ia tidak berulang.
"Siri kenyataan ahli Parlimen yang tidak betul dan tidak benar, yang boleh dikatakan telah mengelirukan Dewan dan siri permohanan maaf yang dibuat. Teguran tegas dalam Jemaah Menteri telah disampaikan (dalam Mesyuarat Kabinet).
"Insya-Allah Jemaah Menteri akan berhubung dengan Pejabat Tan Sri Speaker untuk pastikan (ia tidak berulang) kerana seolah-olah ada sikap, cakap dulu dan minta maaf kemudian.
"Ada pertikaian sama ada, adakah mereka faham bahawa apa yang mereka sebut itu tidak benar dan tidak betul dalam siri kejadian baru-baru ini, tidak kira (Ahli Parlimen) Tasek Gelugor (Datuk Wan Saiful Wan Jan), Pengkalan Chepa (Datuk Ahmad Marzuk Shaary) atau Marang (Tan Sri Abdul Hadi Awang)," katanya dalam sidang media, di sini pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, bagaimanapun perkara-perkara yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen pada sesi perbahasan tersebut akan dijawab dalam sesi penggulungan yang dijadual bermula Isnin.
Pada 5 Mac lalu, Wan Saiful memohon maaf atas tindakannya yang mengeluarkan kenyataan berbaur sangkaan jahat terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat.
Permohonan maaf itu dibuat selepas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul memberi ruang kepada wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) itu untuk memberikan penjelasan mengenai kenyataan yang dibuatnya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat pada 28 Februari lalu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang sepatutnya membacakan usul menggantung Wan Saiful selama enam bulan kemudiannya bangun dan menerima permohonan maaf secara terbuka itu.
#Kerajaan Perpaduan #Wan Saiful Wan Jan mohon maaf #Zahid Hamidi #Perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja
;