Mesyuarat dari hospital: Beberapa negeri berpotensi beralih ke Fasa 2 PPN - PM

Astro Awani
Julai 5, 2021 16:38 MYT
Muhyiddin mempengerusikan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara dari sebuah hospital selepas dimasukkan ke wad disebabkan diarea. - Foto Facebook/Muhyiddin Yassin
KUALA LUMPUR: Beberapa buah negeri menunjukkan perkembangan baik dan berpotensi mencapai ketiga-tiga indikator nilai ambang utama Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam waktu terdekat.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pautan terbaharu di media sosialnya turut menzahirkan kesyukuran apabila lima buah negeri telah pun beralih ke Fasa 2 PPN.
"Saya berharap situasi pandemik di negara kita dapat terus dikawal dan lebih ramai rakyat dapat divaksin dalam masa terdekat dengan penerimaan bekalan vaksin yang lebih banyak pada bulan ini.
"Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada sukarelawan badan-badan amal, parti-parti politik, pihak swasta dan orang ramai yang tampil menghulur bantuan kepada rakyat Malaysia yang memerlukan pada masa ini di samping bantuan-bantuan disampaikan oleh pihak kerajaan.
BACA SEMUA BERHUBUNG PEMBERIAN VAKSIN ASTRAZENECA DI SINI
"Semoga amal jariah anda semua diberikan ganjaran oleh Allah S.W.T," kata beliau.
Muhyiddin sebelum itu mempengerusikan mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) melalui sidang video dari hospital bagi membincangkan perkembangan situasi pandemik COVID-19 di dalam negara
.
Antara perkara yang turut dibincangkan termasuklah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang sedang berkuatkuasa di mukim-mukim di Selangor dan 14 lokaliti di Kuala Lumpur, serta laporan pemantauan setiap negeri di dalam fasa pemulihan negara.
Sumber Facebook ts.muhyiddin
#Muhyiddin Yassin #perintah kawalan pergerakan #PKPD #Majlis Keselamatan Negara #MKN #bekalan vaksin #pandemik #vaksin #COVID-19
;