Mesyuarat AMMTC-50 memasuki pusingan akhir
Bernama
Oktober 1, 2015 11:51 MYT
Oktober 1, 2015 11:51 MYT
Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) ke-10 dan mesyuarat berkaitan, memasuki pusingan akhir hari ini, sebelum diteruskan dengan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Peningkatan Fahaman Radikal dan Keganasan Melampau (SAMMRRVE) esok.
Mesyuarat bermula pada 9 pagi dengan Perundingan AMMTC +Jepun ke-2 yang dipengerusikan oleh Menteri Tenaga Brunei Pehin Dato' Dr Muhammad Yasmin Umar.
Selepas sesi itu, pemimpin ASEAN yang menghadiri mesyuarat itu dijadual menandatangani Deklarasi Kuala Lumpur mengenai Jenayah Rentas Sempadan dan Deklarasi Kuala Lumpur mengenai Pergerakan Luar Biasa Manusia di Asia Tenggara.
Pada hari ini juga, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan menerima dua kunjungan hormat, masing-masing oleh Menteri Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia Hanif Dhakiri dan Menteri Keselamatan Awam Vietnam Tran Dai Quang.
Mesyuarat dua hala antara Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, dan Hanif turut dijadual diadakan.
Memorandum persefahaman antara kerajaan Malaysia dan Vietnam berkaitan kerjasama dalam mencegah dan memerangi jenayah rentas sempadan turut dijadual dimeterai hari ini.
Mesyuarat dwitahunan AMMTC selama empat hari dirasmikan oleh Ahmad Zahid pada Selasa.
Beliau dijadual merasmikan SAMMRRAVE esok yang antara lain akan memberi tumpuan kepada isu berkaitan fahaman radikal dan ekstremism di rantau ini.
#AMMTC
#ASEAN
#Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan
#Timbalan Perdana Menteri