Mesyuarat Agung Tahunan koperasi secara maya selangkah ke arah pendigitalan - SKM
Astro Awani
September 1, 2021 14:26 MYT
September 1, 2021 14:26 MYT
KUALA LUMPUR: Kemampuan koperasi untuk menganjurkan Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) secara hibrid atau maya (virtual) adalah titik mula melangkah ke arah alam pendigitalan.
Bagi tahun ini, Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad (Koperasi Sahabat) dan Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Berhad (Koperasi Tentera) merupakan antara koperasi bersaiz besar yang melaksanakan MAT secara atas talian.
Perkara ini disahkan Pengarah Bahagian Statutori dan Pendaftaran Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Norhayati Ahmad Zainuri hari ini.
Katanya, kemampuan koperasi mengadakan MAT dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, menjadikan ia hebat dalam mengadaptasi situasi semasa.
Jelasnya, MAT yang dianjurkan secara hibrid atau maya adalah demi kepentingan anggotanya, sekali gus memastikan pematuhan perundangan koperasi dan memenuhi kehendak stakeholder.
"Wajar untuk koperasi mengadakan MAT malah mengamalkan norma baharu dalam pengurusan koperasi termasuk mengadakan mesyuarat secara maya menggunakan pelbagai aplikasi mesyuarat dalam talian.
"Arahan turut dikeluarkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkuatkuasa 31 Mac 2021 berkenaan pematuhan Tatacara Pelaksanaan MAT Koperasi Semasa Penularan Pandemik COVID-19 yang dikeluarkan SKM.
"Tatacara ini menjadi rujukan asas kepada koperasi untuk mengadaptasi kaedah baharu mengadakan mesyuarat agung secara maya sebagai alternatif kepada koperasi untuk mengadakan MAT secara fizikal," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya lagi, kemampuan koperasi bersaiz besar menganjurkan mesyuarat agung secara atas talian perlu dijadikan contoh kepada koperasi yang bersaiz kecil.
"Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Berhad dengan kekuatan 150,000 anggota dan Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad mempunyai lebih 200,000 anggota, berjaya mengadakan MAT pada 27 Jun 2021 dan 26 Ogos 2021 dengan kuorum bersesuaian masing-masing.
"Jadi, koperasi dinasihatkan untuk tidak menjadikan penularan pandemik COVID-19 dan PKP 3.0 sebagai alasan untuk tidak mengadakan mesyuarat agung," ujarnya.
Kata Norhayati lagi, dari aspek perundangan, keputusan dalam mesyuarat yang diadakan secara dalam talian diterima pakai atau menjadi kesepakatan secara bersama, dipersetujui anggota koperasi yang hadir dalam mesyuarat itu.
"Kaedah pengundian boleh ditentukan oleh koperasi sebelum mesyuarat agung khususnya mesyuarat yang diadakan secara dalam talian.
"Pengundian secara elektronik dianggap lebih praktikal kerana sekiranya dicabar keputusan pengundian, koperasi boleh mengemukakan jejak audit (audit trail) sebagai bukti.
"Selain itu, rakaman perjalanan mesyuarat agung hendaklah disimpan sebagai rekod supaya sebarang pertikaian, jika ada, boleh ditangani dengan sebaiknya," katanya.
Katanya lagi, banyak kelebihan yang diperolehi menerusi mesyuarat agung secara atas talian dan hanya perlu mempunyai telefon bimbit dengan talian internet yang baik bagi memastikan kelancaran sidang video.
Sementara itu, Norhayati berkata, SKM turut prihatin terhadap permasalahan koperasi bersaiz kecil, mikro, dan luar bandar yang mempunyai capaian internet terhad.
"Oleh itu, bagi koperasi seumpama ini, SKM boleh mempertimbangkan pelanjutan tempoh mesyuarat agung selama tiga bulan daripada tarikh akhir koperasi sepatutnya mengadakannya.
"Ini bertujuan membantu koperasi bersedia dengan infrastruktur bagi keperluan untuk mengadakan mesyuarat agung secara virtual atau hibrid," katanya.
Koperasi yang berhasrat memohon pelanjutan tempoh mesyuarat agung boleh memohon dari sistem E-Daftar melalui pautan https://edaftar.skm.gov.my, tambahnya.