Mestron peroleh surat kebenaran KKM berkaitan vaksin COVID-19

Bernama
Januari 30, 2021 18:39 MYT
Mestron menjelaskan surat bertarikh 8 Jan, 2021 membolehkan pihaknya mengadakan perbincangan dan kerjasama mengenai pengimportan, pengedaran, penjualan, pemasaran dan penggunaan vaksin COVID-19 di negara ini. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Mestron Holdings Bhd hari ini mengulangi bahawa pihaknya telah menerima surat kebenaran daripada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk memulakan rundingan dan kerjasama dengan mana-mana syarikat dari China berhubung pengedaran vaksin COVID-19 di Malaysia.
Dalam kenyataan hari ini, Mestron menjelaskan surat bertarikh 8 Jan, 2021 membolehkan pihaknya mengadakan perbincangan dan kerjasama mengenai pengimportan, pengedaran, penjualan, pemasaran dan penggunaan vaksin COVID-19 di negara ini.
Mestron kini dalam proses rundingan dengan Zhongyu Yexing (Chengdu) Industrial Co., Ltd. mengenai perincian bagi potensi kerjasama.
"Selepas kami menetapkan terma-terma dengan Zhongyu Yexing, kami akan menghantar permohonan kepada Agensi Pengawalseliaan Farmaseutikal Kebangsaan (NPRA) untuk mendaftarkan dan memperoleh kelulusan bagi pengedaran vaksin COVID-19 di Malaysia," menurutnya.
Pada Jumaat, Mestron menandatangani Perjanjian Dasar Induk dengan Zhongyu Yexing untuk memulakan perbincangan mengenai struktur dan terma-terma cadangan kerjasama yang berkaitan dengan pengedaran vaksin COVID-19 di Malaysia.
Kedua-dua pihak menjangka dapat memuktamadkan dan memeterai perjanjian definitif dalam tempoh 30 hari selepas perbincangan dan rundingan selesai.
-- BERNAMA
#COVID-19 #vaksin #Kementerian Kesihatan #KKM #China #Mestron Holdings Bhd
;