MESTECC tubuh jawatankuasa siasat kes pelajar sesak nafas di Pasir Gudang
Bernama
Jun 21, 2019 20:40 MYT
Jun 21, 2019 20:40 MYT
Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mengaktifkan Jawatankuasa Penyelarasan Pemantauan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian kes pelajar sesak nafas di Pasir Gudang.
MESTECC dalam satu kenyataan hari ini berkata jawatankuasa yang diketuai oleh Pengarah JAS Johor itu turut dianggotai Jabatan Kimia Malaysia, Jabatan Kesihatan Negeri Johor, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Pendidikan Daerah dan Pasir Gudang Emergency Mutual Aid (PAGEMA).
Menurutnya mesyuarat pertama jawatankuasa telah diadakan malam tadi (Khamis), dan selain itu pihaknya juga akan mengaktifkan Jawatankuasa Penyelarasan Saintifik bagi tujuan menyelaras analisis saintifik berkenaan isu itu.
"Jawatankuasa ini akan meneruskan lagi analisis laporan dan penemuan pemantauan teknikal yang telah dijalankan, dan ia telah bermesyuarat pagi ini," tambahnya.
MESTECC berkata pihak JAS sedang meneruskan pemantauan kualiti udara di sekolah dan pemantauan dalam radius dua kilometer dari sekolah telah dimulakan malam semalam bersama dengan Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT).
Menurutnya pemantauan udara oleh pihak JAS dan Hazmat bagi parameter karbon monoksida (CO), hydrogen sulfida (H2S) dan volatile organic compounds (VOS) adalah sifar, manakala bacaan oksigen adalah 21.2 peratus (normal)," katanya.
Dalam kejadian semalam Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang, Ibrahim Omar dilaporkan berkata 15 pelajar Sekolah Agama Taman Mawar, Pasir Gudang, di sini, didapati mengalami simptom muntah-muntah dan sesak nafas selepas terdedah dengan pencemaran udara di kawasan berkenaan.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pula dalam kenyataan hari ini berkata sehingga pukul 10.00 pagi ini, terdapat 29 orang mendapatkan rawatan iaitu 21 perempuan dan 8 lelaki, dengan 16 daripada mereka adalah dari Sekolah Agama Taman Mawar, iaitu 14 pelajar dan 2 dewasa, manakala 13 lagi adalah pelajar dari Sekolah Kebangsaan Pasir Gudang (4).
Sementara itu di JOHOR BAHRU, JAS Negeri sudah mula melakukan pemeriksaan terhadap kilang-kilang kimia, gas dan petroleum yang berada dalam radius 1.5 kilometer dari Sekolah Agama Taman Mawar di Pasir Gudang, hari ini.
Pengarahnya Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata pemeriksaan dilakukan dengan berpandukan arah angin kerana ia membawa bau yang dihidu murid berkenaan.
"Kita juga harus melakukannya cepat sebelum sesi persekolahan dibuka semula," katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau berkata sekiranya punca bau masih belum dapat dikesan, pemeriksaan akan diperluaskan lagi sehingga radius tiga kilometer dari sekolah itu, dan ia dijangka akan mengambil masa antara dua atau tiga hari lagi.
Wan Abdul Latiff berkata berdasarkan inventori pihaknya, terdapat 2,005 buah kilang di seluruh kawasan Pasir Gudang setakat ini.
"Kalau lihat jarak antara kawasan industri, sekolah dan rumah, ia tidak jauh. Namun disebabkan terdapat pelbagai bau di Pasir Gudang ekoran aktiviti perindustrian itu maka kita tidak boleh mengesahkan dahulu bahawa sama ada ia (bau atau gas terlibat) adalah LPG mahupun sebaliknya," katanya.
-- BERNAMA
#jawatankuasa
#Johor Bahru
#kesihatan
#MESTECC
#mesyuarat
#Noor Hisham Abdullah
#Pasir Gudang
#pelajar
#sekolah
#Taman Mawar