Meskipun tiada tetamu kehormat, anak yatim, asnaf dirai ibarat VIP
Tahirudin Tahir
Jun 20, 2017 08:17 MYT
Jun 20, 2017 08:17 MYT
Seramai 225 anak yatim dan asnaf sekitar Lembah Klang diraikan dalam majlis berbuka puasa anjuran Surau Dagang Avenue di sini baru-baru ini.
Mereka yang diraikan bagai tetamu kehormat terdiri daripada enam pertubuhan iaitu Pertubuhan Dar Asnaf Al Fateeh, Rumah Kasih Nurul Hasanah, Pusat Jangan Kasih Murni, Maahad Tahfiz Miftahul Ulum, Rumah Sentuhan Budi dan Rumah Amal Asnaf Al Barakh.
Ahli Jawatankuasa Surau Dagang Avenue, Md Fauzi Said berkata pihak penganjur tidak menjemput mana-mana tetamu kehormat kerana mahu menjadikan anak-anak yatim dan asnaf sebagai tetamu kehormat pada Majlis tersebut.
"Kami rasa bersyukur sangat sebab dapat bersama-sama meraikan anak-anak yatim dan asnaf ini. Walaupun serba ringkas, tapi kami sebagai penganjur mahu meraikan mereka sebagai VIP dan yang diraikan.
"Alhamdulillah majlis ini berjalan lancar dan nampak keceriaan dan kegembiraan pada raut wajah mereka sempena menyambut Syawal yang akan datang," katanya kepada Astro AWANI.
Turut diadakan majlis bacaan Surah Yassin dan doa selamat yang dipimpin imam surau tersebut, Muhammad Azim Mohd Akhbar.
Acara kemuncak adalah penyampaian sumbangan kepada anak-anak yatim dan asnaf yang diraikan oleh Pengerusi, Dr Mohamad Zainal Ahmad Hadja.