Meskipun mencabar, penduduk Lembah Klang siap sedia berdepan gangguan air
Astro Awani
Mac 30, 2021 16:42 MYT
Mac 30, 2021 16:42 MYT
SHAH ALAM: Biarpun gangguan bekalan air bukan sesuatu yang baharu bagi penduduk Lembah Klang, namun ia tetap meresahkan pengguna di kawasan-kawasan yang terjejas dan memaksa mereka membuat persiapan awal.
Tinjauan Astro AWANI mendapati, rata-rata penduduk dilihat sudah bersedia lebih awal termasuk membeli baldi serta menadah air sejak semalam lagi.
Seorang peniaga, Rozana Othman, 39, berkata, situasi terputus bekalan air bukan kali pertama berlaku di Selangor, cuma kali ini, pihak pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) membuat pengumuman lebih awal.
"Dalam apa keadaan sekalipun, kita kena bersiap sedia, dah tertulis daerah Petaling dan Klang (terjejas), jadi kena bersedialah.
"Sedihlah, sehari boleh lagi tapi kalau berlarutan untuk beberapa hari, susahlah kami nak berniaga," katanya di sini, pada Selasa.
Rozana memberitahu, jika air tadahan yang disimpan tidak cukup dia terpaksa menutup kedainya dalam tempoh gangguan bekalan itu.
Seorang lagi peniaga nasi lemak di Shah Alam, Ahmad Adzim Rosli, 29, berkata, meskipun sudah bersiap sedia menadah air untuk beberapa hari lebih awal, namun ia agak mencabar kerana gangguan bekalan air berlaku ketika negara berdepan dengan musim panas dan COVID-19.
"Gangguan air di Selangor, bukan perkara baharu, hampir setiap bulan. Kadangkala agak mencabar kerana saya ada anak-anak kecil dan keluarga. Tambahan pula kami tinggal di tingkat dua.
"Tidak dinafikan Air Selangor ada mengagihkan air menggunakan lori, namun ada juga wujud keadaan di mana gangguan air berlaku tanpa sebarang notis," tambahnya.
Sementara itu, seorang suri rumah, Mariambarasi, 29, memberitahu, dia pernah teragak-agak untuk membuang air berikutan gangguan air.
"Mandi masih boleh lagi, kita guna air sikit-sikit, tapu kalau nak buang air besar terutamanya bagi keluarga yang mempunyai anak kecil susah. Banyak kali isu ini timbul di Selangor, cuma saya hairan kenapa negeri lain tak ada isu ini?" soalnya.
Gangguan air di Lembah Klang dan segala kekecohan yang mengiringinya seolah-olah menjadi 'festival' wajib pada setiap tahun. Persoalannya, sampai bilakah masalah ini akan berlanjutan?
Bekalan Air | 89 kawasan alami gangguan air berjadual hari ini
#gangguan air
#Lembah Klang
#bersedia lebih awal
#festival tahunan
#Air Selangor
#COVID-19
#Kerajaan Selangor