Meskipun hanya sempat selamatkan satu nyawa, Saiful Akmal tetap seorang wira
Adie Sufian Zulkefli
Oktober 22, 2019 17:52 MYT
Oktober 22, 2019 17:52 MYT
"Niat saya bukan nak jadi hero, tetapi saya dah cuba sedaya upaya bertarung nyawa untuk menyelamatkan kesemua mangsa dari lemas... tapi hanya dapat selamatkan seorang saja kerana ketika itu saya sendiri hampir lemas.”
Itu luahan rasa Saiful Akmal Ahmad Shaidi, 27, tatkala menerima anugerah Sijil Hero Bomba yang disampaikan dalam Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, pada Selasa.
Dia berjaya menyelamatkan nyawa seorang remaja berusia 14 tahun yang hampir lemas di rumah pam Sungai Pedu, Kampung Tanjung Pedu, Padang Terap pada 7 Februari lalu.
Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, Saiful Akmal dikatakan baru selesai mandi di kawasan itu sebelum terdengar jeritan dari ahli keluarga mangsa memberitahu tiga mangsa sedang lemas.
Katanya, dia terus terjun ke dalam sungai berkenaan untuk menyelamatkan mereka tetapi hanya sempat menyelamatkan seorang.
Dua beradik berusia 14 dan 16 tahun itu tenggelam dan datuk mereka yang cuba untuk membantu juga turut lemas.
“Sedih sebab tak dapat nak selamatkan semua tu, cuma dapat selamat sorang daripada tiga orang tu kan.
“Masa nak selamatkan tu, saya tak fikir apa dah. Masa tu mak dia ada di situ minta tolong. Lepas tu saya tolonglah setakat yang mampu,” ujar Saiful Akmal yang menambah, ketika itu mangsa dilihat sedang terkapai-kapai.
Saiful telah mencuba sedaya upaya menggunakan tenaga yang ada tetapi disebabkan arus air yang agak laju, dia terkilan tidak berdaya menyelamatkan mangsa yang lain.
Dalam kejadian itu, mayat Mohamad Ramli Ibrahim, 65, dan dua cucunya, Nor Shafia Hafiza Samsudin, 16, dan Nor Shariza Hafiza, 14, ditemui tidak jauh dari kawasan itu.
Menurut Saiful Akmal, dia berterima kasih kepada semua pihak termasuk JBPM kerana menganugerahkannya sijil Hero Bomba kepadanya hari ini.