Mesir suarakan penghargaan kepada Malaysia atas bantuan kemanusiaan untuk Gaza

Bernama
Disember 21, 2023 04:15 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi di Istana Al-Ittihadiya, Kaherah, pada 23 Okt lepas. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Mesir menyatakan penghargaannya kepada kerajaan dan rakyat Malaysia atas sokongan padu yang diberikan dalam menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin di Gaza.
Duta Mesir ke Malaysia Ragai Tawfik Said Nasr berkata berikutan pertemuan antara Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi pada 23 Okt di Kaherah, presiden telah mengarahkan supaya mengutamakan dan menyegerakan penghantaran bantuan kemanusiaan dari Malaysia ke Gaza.
"Malaysia adalah antara negara pertama di ASEAN yang menghantar sejumlah 100 tan bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin, termasuk 60 tan yang dihantar baru-baru ini untuk rakyat Palestin, yang akan sampai kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin dalam beberapa hari akan datang.
"Anda adalah perintis, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada perdana menteri dan kerajaan Malaysia," katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu Bernama TV untuk segmen "The Brief" yang dihoskan oleh Jessy Chahal di sini pada Khamis.
Malaysia baru-baru ini membuat penghantaran ketiga bantuan kemanusiaan Ops Ihsan untuk rakyat Palestin, merangkumi 60 tan bantuan yang meliputi barangan perubatan, makanan sedia untuk dimakan, barangan bayi dan barangan untuk kegunaan musim sejuk seperti tilam dan selimut.
Dengan penghantaran ketiga ini, Malaysia sehingga kini telah menghantar sejumlah 100 tan bantuan kemanusiaan.
Duta itu juga memberikan penjelasan mengenai persimpangan sempadan Rafah antara Mesir dan Gaza yang menurutnya telah dibuka sejak hari pertama.
Walaupun menghadapi cabaran, termasuk pengeboman di sebelah Gaza oleh Israel, Mesir memudahkan kemasukan bantuan dengan berunding dengan Israel selain menyediakan peruntukan untuk menurap jalan di sebelah Gaza.
Beliau berkata melalui rundingan Mesir dan Qatar untuk melaksanakan gencatan senjata selama seminggu pada November, sejumlah 300 trak memasuki Gaza sepanjang tempoh itu berbanding hanya 20 trak sebelum ini.
Said Nasr berkata Mesir menyumbang 75 peratus daripada jumlah bantuan yang memasuki Palestin dalam kalangan lebih 100 negara yang menyumbang kepada usaha membantu Palestin.
Dalam perkembangan diplomatik berkaitan, beliau berkata pemimpin tertinggi Hamas, Ismail Haniyeh, kini berada di Mesir untuk berbincang mengenai situasi di Gaza yang dijangkakan akan menyumbang kepada usaha berterusan untuk menjayakan gencatan senjata.
-- BERNAMA
#bantuan kemanusiaan #Gaza #Mesir #Ragai Tawfik Said Nasr
;