Mesin pengimbas baharu kekang pengisytiharan barang palsu - JKDM

Astro Awani
Disember 29, 2016 17:17 MYT
JKDM berjaya mengekang kegiatan pengisytiharan barang palsu di pelabuhan seluruh negara menerusi penggunaan mesin pengimbas yang baru. - Gambar fail
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya mengekang kegiatan pengisytiharan barang palsu di pelabuhan seluruh negara menerusi penggunaan mesin pengimbas yang baru dipasang dan dinaik taraf di pelabuhan utama negara.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Khazali Ahmad berkata, menerusi pemasangan mesin pengimbas BB-Scan XRay itu sebelum ini, pihaknya berjaya merekodkan 6,379 kes pengisytiharan barang palsu dengan nilai cukai sebanyak RM633 juta sepanjang tahun ini.
"Melalui pengimbasan itu, pihak Kastam dapat mematahkan cubaan menipu dengan kadar segera. Contohnya dia isytihar lobak tetapi di dalam itu ada wine. Inilah antara perkara yang saya sebut.
"Sudah banyak kita labur pada mesin ini dan harapan ia dapat membantu kerja Kastam selain dapat membantu mengekang kerja yang tidak sihat," katanya semasa sidang media selepas melawat Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT) pada Khamis.
Tambahnya, kesalahan mengisytihar barang palsu adalah sangat serius kerana ia menyebabkan negara mengalami kerugian besar.
Justeru, semua pihak termasuk agen Kastam diminta mematuhi arahan dan sistem dimerit yang disyaratkan Kastam berhubung pengikraran barangan di perlabuhan
Dalam pada itu Khazali berkata, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha membanteras kegiatan jenayah di pintu masuk negaa termasuk kes penyeludupan dadah.
Jelasnya, Kastam juga sentiasa menambah baik teknologi keselamatan dan memastikan kes jenayah sempadan termasuk penyeludupan barangan terlarang dapat dikekang.
#BB-Scan XRay #Datuk Seri Khazali Ahmad #JKDM #NBCT
;