Mesin layan diri IPR diperluas di universiti, hospital - Rafizi

Bernama
Mac 15, 2023 15:14 MYT
Rafizi (dua, kiri) menunjukkan nasi lemak Pandan yang dibeli menggunakan mesin layan diri Insiatif Pendapatan Rakyat (IPR) ketika program IPR di Stesen Bas Terminal One, Seremban hari ini. - Foto BERNAMA
SEREMBAN: Mesin layan diri Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) akan diperluas di beberapa universiti, hospital serta pejabat swasta, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.
Rafizi berkata pihaknya akan melancarkan mesin itu di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Selangor pada 21 Mac ini selepas pelajar kembali ke kampus.
"Perancangannya, mesin layan diri ini diletakkan di tempat awam, kawasan tumpuan atau lokasi yang dilihat mempunyai pembeli berskala besar (seperti di kampus).
"Kita sedang memuktamadkan beberapa tempat lagi (diletakkan mesin tersebut) di seluruh negara. Antaranya beberapa lokasi di Perak akan dilancarkan dalam tempoh beberapa minggu ini," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak Mesin Layan Diri IPR di Stesen Bas Terminal 1, di sini hari ini.
Beliau turut menyasarkan mesin tersebut dapat diperluas kepada 5,000 penerima di bawah Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN) pada tahun ini.
Menerusi insiatif INSAN, penerima akan diberikan mesin layan diri di tempat yang telah dipilih dan akan menerima sewaan bulanan serta dibayar terus kepada penyedia mesin layan diri antara RM600 hingga RM800 bergantung kepada jenis mesin.
Menurut Rafizi, permohonan terhadap mesin itu melebihi sasaran ditetapkan bagaimanapun penyediaan mesin tersebut perlu mengikut kemampuan operator dalam menyediakannya.
"Saya jangkakan menjelang akhir tahun ini mencecah puluhan ribu permohonan kerana setakat ini permohonan melebihi sasaran ditetapkan, bagaimanapun kita perlu mengukur kapasiti industri yang menyediakan mesin layan diri.
"Operator perlu mengeluarkan RM20,000 hingga RM30,000 bagi sebuah mesin yang ditanggung sendiri. Kerajaan tidak membeli mesin ini, kerajaan hanya membayar sewa, modal itu perlu dikeluarkan oleh pihak operator mesin layan diri," katanya.
Beliau berkata sumbangan kerajaan kepada industri ialah melalui IPR, operator mesin tersebut dapat meningkatkan penggunaan mesin di seluruh negara sekali gus memesatkan industri tersebut.
Penerima mesin itu, Syuhaila Mohd Yusof, 48, berkata dengan penerimaan mesin, beliau mampu menjual makanan seperti pastri, roti, nasi lemak, ayam goreng berharga RM1 hingga RM3 mengikut piawaian yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.
Sementara itu, mengulas mengenai dakwaan yang melabelkan dirinya sebagai "Raja Formula", Rafizi berkata beliau yakin pengundi bijak dalam menilai permainan politik yang digunakan sesetengah pihak.
"Mainan politik pembangkang adalah mengenai Raja Formula, mereka tidak sedar bahawa pengundi membandingkan menteri dan pemimpin kerajaan yang berterusan ada idea berbanding dengan bekas menteri atau pembangkang yang kerjanya hanya pandai menyindir tetapi tiada idea.
"Kita semua tahu perkara yang mereka ungkit mengenai formula, ini semua perkara 10 hingga 15 tahun lepas pada masa yang berbeza," katanya.
-- BERNAMA
#nisiatif Pendapatan Rakyat #mesin layan diri #Rafizi Ramli #IPR
;