Mesin bergerak tiba-tiba, lelaki temui ajal dalam mesin pengisar daging

Shuhada Abdul Kadir
Disember 30, 2019 15:22 MYT
Dalam kejadian sekitar 7.45 pagi itu, mangsa berusia 47 tahun itu dikatakan terjatuh ketika sedang melakukan kerja-kerja pembaikan mesin. - Foto JBPM
Seorang lelaki warga Nepal maut selepas terjatuh ke dalam mesin pengisar daging di sebuah kilang tempat mangsa bekerja di Londang, Pengkalan Balak, di sini, hari ini.
Dalam kejadian sekitar 7.45 pagi itu, mangsa, Indra Prasad Bhattarai, 47, dikatakan terjatuh ketika sedang melakukan kerja-kerja pembaikan mesin.
Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka Zulkhairani Ramli berkata, pasukannya terpaksa mengambil masa kira-kira 30 minit bagi mengeluarkan mangsa.
“Apabila tiba di lokasi, kami mendapati terdapat seorang mangsa tersepit di mesin berkenaan dengan percikan darah dan bomba mengambil masa setengah jam untuk mengeluarkan mangsa.
“Difahamkan mangsa sedang membuat pembaikan mesin, tetapi mesin berkenaan bergerak secara tiba-tiba menyebabkan mangsa mengalami kecederaan dan pendarahan teruk di bahagian pinggang.
“Mangsa yang tidak sedarkan diri kemudian disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan sebelum mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
#bomba #Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia #JBPM #Malaysia #maut #maut mesin pengisar #meninggal dunia #Nepal #perubatan #polis
;