Mesej tular samun guna kad nama, toreh wajah mangsa adalah kes lama - PDRM
Hilmi Malik
November 2, 2021 17:43 MYT
November 2, 2021 17:43 MYT
KUALA LUMPUR : Polis mengesahkan dakwaan yang tular kononnya berlaku kegiatan samun menggunakan senjata yang disembunyikan di sebalik kad nama adalah bukan kes baharu, sebaliknya ianya telah mula ditularkan pada 2014.
Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan urus setia Ketua Polis Negara, berita yang tular di media sosial itu telah disebarkan semula oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
“PDRM mengesahkan tiada sebarang laporan polis berkaitan kejadian samun menggunakan modus operandi sedemikian.
“Mangsa wanita yang cedera seperti gambar yang disebarkan adalah kes yang berlainan manakala gambar lelaki cedera merupakan kes pergaduhan di sebuah pusat hiburan di luar negara,” katanya memetik kenyataan itu.
Dakwaan mengenai kegiatan samun yang ditularkan semula itu menyatakan terdapat individu yang akan mengetuk cermin kenderaan sambil membawa kad nama yang mempunyai peralatan tajam sebelum melakukan samun terhadap mangsa.
Selain itu mesej yang tular itu turut memaparkan gambar mangsa lelaki yang kononnya cedera ditoreh di muka akibat serangan berkenaan.
Justeru, polis menasihatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dengan penyebaran berita palsu dan tidak ditentukan kesahihannya.