Mesej tular dakwa Amerika Syarikat kenakan sekatan ke atas Malaysia adalah palsu - Fahmi
Bernama
Mei 11, 2024 18:02 MYT
Mei 11, 2024 18:02 MYT
KUALA LUMPUR: Mesej tular yang mendakwa Malaysia negara ASEAN pertama dikenakan sekatan oleh Amerika Syarikat adalah palsu, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Beliau yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata pengesahan mengenai mesej palsu itu diterimanya daripada Kedutaan Amerika Syarikat, selain penafian oleh pihak Reuters sendiri.
"Berdasarkan penafian Reuters Press Team di X (sebelum ini dikenali Twitter) dan pengesahan yang saya terima dari pihak Kedutaan Amerika Syarikat, saya sahkan bahawa mesej tular itu adalah palsu," katanya menerusi media sosialnya hari ini.
Terdahulu Reuters mengesahkan tidak melaporkan artikel berita itu yang disebar luas terutama menerusi aplikasi WhatsApp.
"Sebarang dakwaan yang mengatakan Reuters melaporkan bahawa Malaysia adalah negara pertama di Asia Tenggara yang akan disenaraikan oleh Amerika Syarikat sebagai negara yang menaja keganasan, adalah palsu," menurut agensi berita berkenaan menerusi platform X.
-- BERNAMA