Mesej tular bakteria Salmonella dalam bekalan air Lembah Klang tidak benar - KP Kesihatan

Astro Awani
Mac 3, 2018 15:33 MYT
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata Hasil semakan dan verifikasi pemantauan wabak penyakit berjangkit didapati tiada peningkatan kejadian KRM dilaporkan. - Gambar fail/Astro AWANI
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa mesej tular mengenai berlakunya wabak Keracunan Makanan (KRM) berkaitan dengan keselamatan bekalan air di Lembah Klang adalah tidak benar dan tidak boleh dipercayai.
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata Hasil semakan dan verifikasi pemantauan wabak penyakit berjangkit didapati tiada peningkatan kejadian KRM dilaporkan.
"Didapati kejadian KRM yang berlaku buat masa ini adalah terpencil dan terkawal serta tiada kaitan dengan bekalan air atau gangguan bekalan air," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada 2 Mac 2018, KKM telah menerima makluman mesej tular mengenai berlakunya wabak Keracunan Makanan (KRM) berkaitan dengan keselamatan bekalan air di Lembah Klang.
Noor Hisham dalam laman tweet-nya pula turut menasihatkan orang ramai agar tidak mempercayai sebarang mesej tular yang tidak berasas.
"Orang ramai dinasihatkan agar tidak perlu khuatir serta tidak mempercayai maklumat-maklumat tular yang tidak benar dan tidak disahkan oleh KKM," jelasnya.
Menurut kenyataan itu lagi KKM sentiasa menyarankan agar orang ramai sentiasa mengamalkan kebersihan diri dan persekitaran, serta memastikan makanan dan minuman yang diambil adalah selamat dari sebarang pencemaran.
Pengendali makanan pula perlu peka dengan amalan pengendalian makanan yang selamat bagi memastikan makanan yang disediakan tidak menyebabkan keracunan makanan.
KKM akan terus memantau status kejadian KRM yang berlaku di Malaysia.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak perlu khuatir serta tidak mempercayai maklumat-maklumat tular yang tidak disahkan oleh KKM.
#air #Dr Noor Hisham Abdullah #Kementerian Kesihatan #keselamatan #kesihatan #KKM #Malaysia
;