Mesej MCA kepada Bung Mokhtar
Astro Awani
Julai 10, 2014 11:03 MYT
Julai 10, 2014 11:03 MYT
Pengerusi Biro Keharmonian Agama MCA, Datuk Ti Lian Ker meminta Datuk Bung Mokhtar Radin supaya fikir masak-masak sebelum membuat sebarang kenyataan kerana terlajak kata buruk padahnya.
Beliau juga meminta Ahli Parlimen Kinabatangan itu supaya memohon maaf atas kenyataannya yang mengaitkan pasukan bolasepak Jerman dengan pemimpin fasis, Adolf Hitler.
"Piala Dunia FIFA adalah satu acara sukan yang meriah dan polos politik yang menyatukan pemain, bakat-bakat dan peminat. Politik dan tentunya ideologi perkauman yang menyimpang tidak harus dibenarkan menular.
"Oleh itu, saya minta Bung Mokhtar meminta maaf dan menarik balik tweetnya serta fikir masak-masak sebelum buka mulut," katanya dalam satu kenyataan.
Jelas Lian Ker, beliau malu dan terkejut bagaimana seorang ahli Parlimen boleh mengagung-agungkan diktator Nazi semasa meraikan kemenangan pasukan bolasepak Jerman.
Jerman pada awal pagi Rabu membelasah Brazil 7-1 untuk layak perlawanan akhir Piala Dunia 2014 yang akan berlangsung pada Isnin ini.
Tidak lama selepas perlawanan separuh akhir itu tamat, Bung Mokhtar menulis kenyataan ini di Twitter.
Menurut Lian Ker, kenyataan "tidak berakal" Bung Mokhtar itu menarik lagi perhatian negatif kepada negara dan cukuplah Malaysia jadi sebutan dunia selepas beberapa orang rakyatnya menyertai kumpulan militan Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS).
"Saya yakin orang Jerman pun akan rasa terhina kalau tahu kejayaan mereka disamakan dengan diktator yang mencetuskan perang dunia (dan) menyebabkan kematian berjuta-juta nyawa," katanya.
Hitler memimpin Nazi semasa Perang Dunia Kedua. Ideologi fasis dan perkaumannya menyebabkan penindasan ke atas orang Yahudi yang dibunuh beramai-ramai di kem tahanan khas. Sejarah menganggarkan sehingga 6 juta orang Yahudi dibunuh dalam kempen Hitler.
Jelas Lian Ker, beliau tidak mahu kerana kenyataan Bung Mokhtar itu negara ini dikenali sebagai pendukung fahaman neo-Nazi dan fahaman perkauman yang sempit.
Sementara itu, Ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Ming dalam satu kenyataan menggesa Perdana Menteri mengarahkan Bung Mokhtar meminta maaf serta letak jawatan wakil rakyat dan UMNO.