Merungkai kemelut pendidikan negara dalam konteks daya saing global

Abdul Mutalib Embong, Muhamad Khairul Zakaria
Julai 9, 2023 20:08 MYT
Ironinya, Malaysia masih ketinggalan dalam konteks daya saing global kerana kualiti bakat negara saban tahun semakin merosot. -Gambar hiasan/Astro AWANI
SUDAH hampir sebulan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan. Para ibu bapa dan anak-anak mulai sibuk membuat persiapan ke menara gading bagi mengejar impian.
Seramai 10,109 orang daripada 373,974 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 memperoleh keputusan cemerlang semua A.
Manakala sejumlah 75,322 pula merekodkan pencapaian kepujian iaitu sekurang-kurangnya gred C untuk semua mata pelajaran.
Secara pukul ratanya, seramai 342,742 atau 91.6 peratus calon layak menerima sijil. Ini bermakna 8.4 peratus atau 33,906 calon gagal dalam peperiksaan SPM 2022.
Ia bukannya satu angka yang kecil. Dalam erti kata lain, mereka adalah pelajar yang menghabiskan 11 tahun di sekolah tetapi tidak layak mendapat sijil SPM kerana gagal dalam mata pelajaran Sejarah dan Bahasa Melayu.
Bagi mata pelajaran Matematik pula, 24 peratus atau seorang daripada empat calon gagal dalam mata pelajaran itu, manakala 29 peratus lagi mendapat gred D dan E.
Ini bermakna hampir separuh daripada pelajar lemah dalam Matematik.
Paling membimbangkan apabila satu laporan menyebut bahawa sejumlah 14,858 atau 3.8 peratus daripada calon baharu SPM 2022 dan mendaftar kali pertama sekurang-kurangnya enam mata pelajaran tidak hadir menduduki peperiksaan itu.
Terdahulu, hasil kaji selidik Jabatan Perangkaan Malaysia 2019 merekodkan 72.1 peratus daripada rakyat negara ini juga memilih untuk tidak melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Kajian turut melaporkan 5.8 peratus atau 1.9 juta rakyat Malaysia pula tidak pernah bersekolah atau tercicir daripada sistem pendidikan negara.
Sememangnya, hak untuk belajar atau bekerja itu menjadi hak mutlak setiap individu. Namun perlu diingat, dalam mengejar wawasan menjadi sebuah negara maju, corak yang dipaparkan memberi kesan terhadap produktiviti negara.
Kita memerlukan purata 53 peratus tenaga kerja mahir dan berpendidikan tinggi, berbanding 28 peratus yang kita ada sekarang.
Jika diperhalusi, banyak faktor yang boleh dilihat berhubung perkara ini. Antaranya kerana sudah bekerja atau hilang minat untuk meneruskan pelajaran.
Kaedah pembelajaran secara dalam talian sewaktu wabak COVID-19 juga menyebabkan ada pelajar yang gagal mengikuti proses pembelajaran dan pengajaran (PnP).
Selain itu, sikap tidak peduli ibu bapa mengenai pelajaran turut memburukkan keadaan.
Sudah sekian lama, kemiskinan -- sama ada bagi penduduk di bandar, luar bandar atau pedalaman -- menyumbang kepada kedaifan anak-anak dalam menuntut ilmu.
Kemiskinan ini bukan sahaja kemiskinan harta secara lahiriah, tetapi melibatkan kemiskinan jiwa yang kebiasaannya didasari perasaan malas dan tiada disiplin kendiri.
Ini termasuklah keengganan untuk bersusah payah keluar daripada kepompong sedia ada kepada yang zon yang lebih baik.
Selain itu, Transformasi Sistem Pendidikan Negara yang menumpukan kepada Pentaksiran Berasaskan Peperiksaan (UPSR, PMR, SPM) kepada Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) juga mengelirukan ibu bapa dan membebankan guru.
Ada yang lantang berpendapat PBS bukan saja tidak praktikal dan telus, malah tidak relevan di negara ini kerana isu utama seperti keperluan asas masih belum dapat diselesaikan kerajaan.
Rumusan perihal di atas sememangnya sangat mengelirukan. Dalam kita mendabik dada kononnya kualiti sistem pendidikan negara adalah bertaraf dunia, ramai tidak tahu hampir 170,000 murid sekolah di akhir sekolah rendah tidak mahir membaca.
Malah di media sosial, ramai guru turut merungut akan pelajar sekolah menengah yang masih tidak menguasai kemahiran asas 3M iaitu membaca, menulis, dan mengira.
Semua ini bercanggah dengan kenyataan kerajaan yang mengesahkan kualiti sistem pendidikan negara setanding dengan pentaksiran antarabangsa.
Ironinya, Malaysia masih ketinggalan dalam konteks daya saing global kerana kualiti bakat negara saban tahun semakin merosot.
Berdasarkan penarafan daya saing global oleh Institute for Management Development (IMD), Malaysia pernah berada pada tangga ke-14 terbaik di dunia pada 2013, tetapi kini merudum jatuh ke tangga 36.
Kita tidak boleh berterusan begini. Sekejap hebat, gah dan gemilang. Kemudian tenat, sakit dan kacau-bilau.
Natijahnya, landskap sistem pendidikan yang kerap berubah dan cacamarba perlu dihentikan.
Dunia pendidikan harus diterajui oleh pakar-pakar “sifu” dalam bidangnya supaya berada di atas landasan yang betul.
Campur tangan politik berterusan menyebabkan hala tuju sistem pendidikan negara sukar direalisasikan.
Keunggulan berilmu itu penting. Ia penentu dan kayu ukur keunggulan bangsa.
Bak kata pujangga Hamka, "Jangan lalai menuntut ilmu, kerana diri merasa kaya atau mampu atau berkedudukan tinggi. Kerana bertambah tinggi kedudukan bertambah banyak persoalan yang dihadapi, dan bertambah pentinglah ilmu."

Muhamad Khairul Zakaria dan Abdul Embong ialah Pensyarah, Pusat Pendidikan Asas & Lanjutan (PPAL), Universiti Malaysia Terengganu.
Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#Sijil Pelajaran Malaysia #menara gading #Pentaksiran Berasaskan Sekolah #Transformasi Sistem Pendidikan Negara
;