Merokok, pemakanan tidak sihat antara faktor risiko kanser golongan muda

Bernama
September 20, 2023 20:13 MYT
Lukanisman berkata, kajian menunjukkan 30 hingga 50 peratus kanser ini boleh dicegah dengan pembudayaan hidup sihat. - Gambar fail/Bernama
PUTRAJAYA: Risiko kanser melibatkan golongan muda berumur antara 15 dan 49 tahun berpunca daripada pemakanan tidak sihat, pengambilan gula berlebihan dan tabiat merokok termasuk menghisap vape, kata Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni.
Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Ulang Tahun ke-10 Institut Kanser Negara (IKN) di sini hari ini, beliau berkata golongan muda kini tertarik mencuba makanan 'trendy' yang mengandungi gula sangat tinggi, yang dipromosikan oleh pempengaruh media sosial.
"Sebagai contoh, video oleh pempengaruh media sosial yang mempamerkan minum susu pekat manis dan air balang bersaiz besar yang mempunyai kandungan gula yang sangat," katanya.
Beliau berkata kajian menunjukkan 30 hingga 50 peratus kanser ini boleh dicegah dengan pembudayaan hidup sihat.
Namun, menurutnya dianggarkan 98 peratus penduduk dewasa di negara ini mempunyai sekurang-kurangnya satu faktor risiko kanser iaitu tabiat tidak cergas atau pengambilan tembakau dan alkohol yang memudaratkan.
Justeru, beliau berkata adalah penting untuk merancang dan melaksanakan program pencegahan, saringan awal, rawatan dan penjagaan paliatif serta kemandirian untuk pesakit kanser di negara ini.
Sambutan bertema "10 Tahun: Melakar Kejayaan, Menggalas Harapan" itu bagi meraikan pencapaian serta sumbangan IKN sebagai pusat rawatan kanser dan pusat penyelidikan berkaitan kanser yang ditubuhkan pada 2013.
-- BERNAMA
#risiko kanser #golongan muda #kandungan gula #menghisap vape
;