Merokok di premis: Tegur dengan tegas, elakkan bergaduh - Dr Dzulkefly

Ridauddin Daud
Oktober 6, 2024 19:34 MYT
Dr Dzulkefly ditemui selepas menghadiri program Walkabout Premis Bersih, Bebas Asap (BeBAS) di Puncak Alam, Kuala Selangor pada Ahad. - Foto Astro AWANI
KUALA SELANGOR: Tegas tapi jangan sampai bergaduh.

Ringkasan AI
  • Tegur tanpa gaduh: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, menasihatkan orang awam agar mengelakkan pergaduhan dengan mengambil gambar perokok yang melanggar peraturan di premis makanan dan melaporkannya kepada Kementerian Kesihatan (KKM).
  • Penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok: KKM sedang menguatkuasakan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), dengan tindakan kompaun dikenakan terhadap individu yang melanggar peraturan merokok di premis larangan.
  • Laporan dan perlindungan: Orang awam yang membuat laporan akan dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711), dan mereka boleh melaporkan kesalahan merokok melalui talian Whatsapp Aduan Merokok.

Demikian nasihat Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad buat orang awam yang mahu menegur individu yang masih berdegil dan merokok di dalam premis makanan.
Menurutnya, beliau cakna dengan aduan rakyat yang bimbang mungkin berlaku pergaduhan sekiranya perokok-perokok itu ditegur.
Justeru, beliau berkata, meskipun sukar, namun beliau menasihatkan untuk mengelak daripada bergaduh, mengambil gambar dan kemudian melaporkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM).
Jelasnya, KKM kini sedang menguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) dan tindakan akan diambil buat perokok yang melanggar peraturan.
“Ya, sudah tentu. Jangan risau. Kita dah katakan…bila anda sampai ke tahap itu, beri laporan kepada kami. Biar penguatkuasa yang ambil tindakan.
“Jangan ambil undang-undang di tangan sendiri. Jangan gaduhlah, apatah lagi di premis anda, nampak tidak elok.
“Tidak mengapa, macam saya cakap, elakkan dari pergaduhan, anda berundur sedikit tapi tolong buat laporan.
“Kita akan pertahan, kita akan lindungi anda menerusi Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711).
“Kalau boleh ambil gambar sikit-sikit dan laporkan kepada kami. Kami akan ambil tindakan segera,” katanya.
Menurutnya, sehingga 5 Oktober 2024, sebanyak 6,245 premis telah diperiksa dan 12 kompaun dikenakan terhadap individu yang merokok di premis larangan merokok.
Bagi premis pula, menurut Dr Dzulkefly, setakat ini KKM hanya memberikan amaran kerana masih dalam fasa pendidikan namun tindakan lebih tegas akan diambil bermula 1 April 2025.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri program Walkabout Premis Bersih, Bebas Asap (BeBAS) di Puncak Alam, Kuala Selangor pada Ahad.
Sepanjang tahun 2023, KKM menerima sebanyak 9,440 aduan telah diterima berkaitan kesalahan merokok di premis makanan.
Manakala bagi tempoh Januari hingga Ogos 2024, sebanyak 8,762 aduan telah diterima dan semua aduan itu telah disalurkan kepada Pejabat Kesihatan terdekat untuk diambil tindakan.
Orang awam yang ingin membuat laporan berkaitan kesalaha merokok di premis makanan boleh menghubungi talian Whatsapp Aduan Merokok iaitu +6010 - 860 8949.
#merokok di premis #Dzulkefly Ahmad #tegas tapi jangan sampai bergaduh #Akta 852 #perokok
;