Merevolusikan pencerahan Malaysia melalui pemikiran kritis
Anas Alam Faizli
Disember 14, 2016 16:23 MYT
Disember 14, 2016 16:23 MYT
PERISTIWA Nabi Adam A.S. memetik buah larangan di Syurga, seperti yang diriwayatkan dalam kitab-kitab suci agama Hanif dan kemudiannya Islam, merupakan detik pertama keputusan menggunakan fakulti pemikiran dan daya kemahuan bebas (free will) telah diambil. Penurunan baginda ke bumi di Pulau Sarandib (Sri Lanka) manakala Hawa di Jeddah untuk dijadikan Khalifah di muka bumi ini, telah ditakdirkan.
Kejadian memetik buah Khuldi itu tidak mungkin dapat dielakkan. Yang menjadi fokus kita di sini ialah proses pemikiran yang membawa kepada keputusan tersebut. Filasuf Perancis Descartes dalam membuktikan manusia itu wujud, menyatakan, ‘Aku berfikir, maka aku wujud’. Sememangnya kewujudan manusia dan pemikiran tidak boleh dipisahkan.
Apa itu kebenaran? Adakah Tuhan wujud? Mengapakah wujudnya penderitaan? Merentasi sejarah, banyak peristiwa telah menzahirkan perintah Tuhan untuk kita berfikir. Tuhan menganugerahkan manusia dengan kebijaksanaan, naluri dan daya kemahuan yang kemudiannya dijanakan sebagai pemikiran. Gambaran Musa A.S. menerima wahyu ketika uzlah pemikiran baginda di Thursina sekitar 1200 S.M. merupakan salah satu contoh perjalanan manusia mencari kebenaran menggunakan daya pemikiran.
Begitu juga dengan kisah Ibrahim A.S. sekitar 2000 S.M. yang tidak berpuas hati dengan jawapan ibubapanya mengenai persoalan kehidupan dan ketuhanan. Menurut penaakulan baginda, mana mungkin Tuhan itu ialah bintang dan bulan, sedangkan kedua-duanya lenyap sejurus siang menggantikan malam.
Beribu tahun kemudian, hubungan antara kemanusiaan dan Tuhan tidak sejelas seperti dahulu. Persoalan penting mengenai tujuan kehidupan, wahyu, takdir dan nasib tidak lagi memenuhi benak pemikiran kita, malah dibiarkan menjadi bahan pemikiran dan perbincangan ahli-ahli falsafah yang dianggap ‘bermimpi di siang hari’. Pencarian kebenaran tidak lagi dijadikan focus utama masyarakat.
Lebih terkini, filem Oblivion menggambarkan pencarian kebenaran dalam dunia moden, melalui pemikiran dan sifat ingin tahu. Watak utama, Jack Harper menemui ‘kebenaran’ beliau melalui pertanyaan soalan demi soalan usai membaca sebuah buku yang memancing daya ingin tahunya.
Ahli falsafah dan tokoh sejarah seperti Confucius, Siddharta, Socrates, Plato, Aristotle, Ibnu Sina, Farabi, Ghazali, Ibnu Taymiyyah, Kant, Hegel, Locke, Bentham, Marx, Nietzche, Sartre, Ali Shariati dan ramai lagi turut memerhatikan dan mempersoalkan tujuan kehidupan manusia melalui sifat ingin tahu yang tinggi dan tidak henti bertanya.
Albert Einstein pernah berkata bahawa beliau tidak mempunyai sebarang bakat istimewa melainkan sifat ingin tahu yang mendalam.
Sifat ini terus diwarisi ahli falsafah merentasi dunia moden. Lantas, kita mendapati bahawa pemikiran kritis sahajalah yang memungkinkan manusia untuk melahirkan dan menjadi saksi kehebatan tamadun silam, Zaman Pembaharuan, Zaman Pencerahan, Zaman Emas Tamadun Islam dan dunia moden.
Berfikir Kritis ke arah Mentaliti Dunia Kelas Pertama
The Annual International Conference on Critical Thinking and Education Reform di Amerika menyimpulkan pemikiran kritis sebagai satu proses intelek yang berdisiplin. Ia melibatkan konseptualisasi, pengaplikasian, analisis, sintesis dan penilaian maklumat secara aktif dan berkemahiran, melalui pemerhatian, pengalaman, refleksi, penaakulan, dan komunikasi.
Perkataan-perkataan besar ini sebenarnya dapat disimpulkan dengan melihat kepada produk utama pemikiran kritis, yakni petunjuk kepada sesebuah kepercayaan dan tindakan.
Pemikiran kritis bertentangan dengan proses yang hanya melibatkan penerimaan dan pengumpulan maklumat ataupun sesuatu set kemahiran, tanpa keupayaan merasai atau empati dengan hasil daripada kumpulan kemahiran terbabit.
Hanya dengan pemikiran kritis, kita dapat menuai hasil daripada proses pendidikan yang diberikan kepada warga Malaysia, melalui kepercayaan yang mereka sendiri bina, dan tindakan yang menyusulinya.
Lazimnya, kita melihat hanya warga rakyat di negara-negara maju yang menzahirkan empati terhadap isu-isu seperti alam sekitar, hak asasi haiwan atau kesinambungan warisan budaya. Begitu juga dengan falsafah dan pemikiran.
Rakyat negara-negara membangun seringkali terlalu sibuk mengejar kemakmuran ekonomi, lalu terhindar daripada turut sama melibatkan diri dalam isu-isu seperti menyelamatkan alam sekitar, seni dan sastera serta falsafah; dalam perkataan mudah, kekayaan intelek.
Jika kita melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang sedang memacu kearah status negara maju, wajar kita segera mengenalpasti bahawa “pembangunan” yang dimaksudkan kini bukan lagi pembangunan konkrit dan fizikal, seperti Menara Berkembar, Litar F1 dan Putrajaya, bukan lagi pertumbuhan ekonomi dan bukan lagi perkembangan sains dan teknologi semata-mata.
Kita tidak mungkin melangkah masuk ke dalam Status Dunia Pertama jika warga Malaysia secara majoritinya masih mempunyai mentaliti Kelas Ketiga, yakni jauh ketinggalan dalam soal pemikiran dan intelek.
‘Trikotomi’ Pemikiran, Ilmu Pengetahuan dan Pendidikan Yang Ironis
Bagi melahirkan sebuah Malaysia yang berfikir, kita tidak dapat lari daripada akar umbi masalah itu sendiri, iaitu pendidikan. Sudah terlalu lama sistem pendidikan kita berfokuskan kepada usaha melahirkan golongan professional seperti doktor dan jurutera. Kualiti dan pembangunan dalam bidang linguistik dan sains kesusasteraan tertinggal di belakang.
Malah, dalam bidang seperti perdagangan, sains hayat dan sains fizikal sekalipun, elemen pemikiran kritis tertimbus dek penekanan terhadap penghafalan dan pengumpulan ilmu dan fakta dengan sebanyak mungkin.
Kementerian Pendidikan ada menawarkan penyelesaian seperti inisiatif Kemahiran Berfikir secara Kritis dan Kreatif (KBKK). Malang sekali usaha-usaha ini terhad kepada langkah-langkah yang bersifat tokok tambah, seperti penambahan beberapa soalan sains dan matematik yang lebih sukar sedikit daripada biasa di dalam buku-buku teks.
Hanya segelintir pelajar yang lebih cemerlang sahaja yang biasanya berminat untuk cuba menyelesaikannya. Binaan dan pembentukan asas sistem pendidikan itu masih sama.
Pencapaian para pelajar yang berumur 15 tahun di Malaysia berterusan jatuh mengikut penilaian TIMSS (pada tahun 1999) sejak 12 tahun kebelakangan dan hanya meletakkan kita pada kedudukan dalam kelompok tiga terbawah dalam PISA. Kedua-dua penilaian ini menguji kemahiran berfikir peringkat tinggi para pelajar.
Sebenarnya, apa yang kita perlukan ialah pelajar Malaysia yang berkeupayaan berempati dengan sesuatu yang lebih mendalam; seperti memerhatikan dan menilai komuniti dan persekitaran mereka, mempersoal tujuan sesuatu perkara, sebab musabab, logik, menjadi kreatif, menghargai sastera, bahasa dan muzik sebagai salah satu cabang sains dalam erti katanya yang tersendiri, menjadi kritikal, inovatif, berdaya ubah dan celik teknologi.
Di zaman purba, ilmu pengetahuan diperolehi melalui pembelajaran dengan pengabdian kepada para tok guru yang memberikan panduan kepada para pelajar mereka untuk meneroka jawapan asas mengenai persoalan kewujudan dan tujuan. Sekarang, ilmu pengetahuan diringkaskan dengan begitu lurus dan dipadatkan dalam buku-buku teks untuk dihafal.
Rakyat Malaysia yang terhasil daripada sistem sedemikian lantas mempunyai pandangan yang terhad tentang kejayaan, hak, sempadan pemikiran dan tujuan. Kita menjadi begitu terkongkong kepada tujuan-tujuan seperti kemakmuran dan kekayaan ekonomi dan keseronokan nikmat kehidupan, sehingga jarang sekali mempunyai daya untuk berfikir melampaui doktrin dan sukatan pelajaran yang sedia ada.
Saya sedar bahawa ‘Trikotomi pemikiran, ilmu pengetahuan dan pendidikan’ ini bukan hanya menjadi wabak yang menyerang masyarakat kita di Malaysia, tetapi juga kebanyakkan negara maju Barat. Tetapi, perjuangan negara seperti Amerika kini adalah untuk menyelamatkan generasi baru mereka daripada kebobrokan sosial yang lahir daripada kejayaan dan kekayaan ekonomi yang pernah mereka rasai.
Bagi negara kecil Malaysia kita ini, kita mungkin jatuh tersadung sebelum tiba di puncak, jika kita terus menerus bergerak dengan sistem dan arah yang sama. Mangsanya tentu sekali bukan kita mahupun para penggubal dasar dalam pejabat-pejabat gelas kaca mereka di Putrajaya. Mangsanya ialah anak-anak bangsa Malaysia.
Memacu Pemikiran Kritis melalui Falsafah
Pertama sekali, saya mencadangkan penubuhan fakulti falsafah di setiap institusi pendidikan tinggi di Malaysia. Hal ini bukanlah perkara baru; universiti-universiti terkemuka dunia seperti Oxford, Harvard, Cambridge dan MIT semuanya mempunyai fakulti falsafah. Perkataan Philosophy (yakni falsafah) berasal daripada perkataan Yunani, philea dan sophia, yang mempunyai maksud yang begitu indah, iaitu cinta dan kebijaksanaan.
Maka, falsafah bermaksud cinta kepada ilmu dan kebijaksanaan. Dalam dunia akademik, falsafah merupakan cabang ilmu yang mengkaji sebab asas di sebalik sesebuah ilmu pengetahuan dan pemikiran tentang realiti kewujudan.
Fakulti falsafah ini akan mula membantu menyelesaikan masalah ketandusan budaya berfikir di kalangan siswa-siswi kita, serta mewujudkan golongan yang berpengetahuan dan terpelajar dalam masyarakat kita. Falsafah mampu membuka minda kita, memaksa kita berfikir dan menaakul, menimbulkan persoalan yang seterusnya bakal menyediakan asas yang kukuh untuk pemikiran kritis.
Tidak dapat dinafikan, sebahagian modal insaniah dan tenaga kerja wajar diletakkan dalam industri-industri yang menghasilkan keluaran ekonomi secara langsung yang mampu disukat secara kuantitatif.
Tetapi, sesebuah sistem itu juga memerlukan kepada penyediaan sedikit ruang untuk golongan yang mampu menghargai karya-karya agung para filasuf dan pemikir silam yang telah membawa kepada pembinaan tamadun dalam sejarah kemanusiaan, serta boleh menyelidik, meneroka dan menemukan penyelesaian kepada pelbagai persoalan dan masalah sosio-ekonomi yang menyelubungi masyarakat kini.
Keduanya, saya mencadangkan supaya matapelajaran falsafah dijadikan matapelajaran wajib ke atas semua pelajar institusi pengajian tinggi. Walau pada peringkat paling asas sekalipun, falsafah merupakan salah satu langkah paling berkesan untuk menggalakkan golongan siswazah berfikir, kerana falsafah merupakan batu asas setiap matapelajaran.
Falsafah dapat membantu memantapkan lagi pemahaman dalam falsafah agama, falsafah matematik, falsafah sains, falsafah sains kemasyarakatan, falsafah ekonomi, pemikiran, malah sebarang matapelajaran sekalipun.
Apa juga jurusan pelajar tersebut, langkah mewajibkan beberapa waktu kredit untuk subjek falsafah akan dapat membantu meyediakan alat-alat bantuan berfikir yang asas, untuk menetapkan pelajar pada landasan asal matlamat belajar itu sendiri serta tujuan di sebalik jurusan ilmu terbabit.
Pencarian ekonomi tanpa henti sudahpun menampakkan sisi negatifnya. Kurangnya pemikiran kritis boleh dikatakan sebagai punca kekurangan daya inovasi kita, sekaligus mengehadkan keupayaan economi kita.
Dengan disiplin-disiplin ilmu seperti perubatan sains kejuruteraan dan perniagaan yang dianggap mampu menjana “pulangan pelaburan” (return on investment) sekalipun, para pelajar jarang dapat mendalami falsafah di sebaliknya, lantas tidak memberi insentif untuk menerokainya dengan lebih jauh.
Walhal, ilmu pengetahuan jika dilengkapi dengan pemikiran dan diterjemahkan kepada pembangunan, inovasi dan pencerahan buat Malaysia sebenarnya menjanjikan pulangan ekonomi yang lebih lumayan!
Mengubat Mentaliti Tertindas melalui Berfikir
Orang awam perlu memahami makna perkataan-perkataan seperti kebebasan, keadilan dan demokrasi untuk sebuah negara bangsa yang moden seperti Malaysia.
Mereka perlu pertamanya mempersoalkan dahulu maksud sebenar konsep-konsep besar ini, sebelum memahami tujuan di sebalik sesebuah sistem perundangan dan pemerintahan.
Tidak cukup dengan itu, kita malah memerlukan sebuah mekanisma yang menggalakkan rakyat Malaysia berfikir di luar kerangka yang didefinisikan oleh sistem persekolahan, budaya-budaya lazim masyarakat, dan pemerintah.
Sekilas pandang, galakan ini mungkin tampak seperti satu galakan untuk terlibat dalam aktivisme radikal sia-sia yang mengancam keselamatan awam. Tetapi, pernahkah kita memikirkan psikologi songsang dan risiko penyalahan moral (moral hazard) yang muncul secara tidak disangka?
Kebiasaannya, golongan yang sering tertindaslah yang sering berpihak kepada pihak bertentangan, walaupun perjuangan pihak yang bertentangan itu tidak semestinya sah atau bersesuaian.
Generasi muda terutamanya mudah terpengaruh dengan sebarang ide, tidak kira sah ataupun tidak, hanya kerana ide itu bertentangan dengan kepercayaan arus perdana. Situasi ini tidak sihat.
Kita perlu memberi ruang untuk perbincangan dan perbahasan intelektual yang bebas. Golongan tertindas dan terpinggir perlu diberikan ruang untuk berdialog dan berdebat, dan ide-ide baru perlu dibahaskan dalam ruangan awam.
Sikap kebanyakan pihak berkuasa yang enggan menerima konsep-konsep penting seperti kebebasan berfikir dan bersuara yang mungkin mencabar status quo mereka, telah menjadi salah satu punca yang menyebabkan gelombang perubahan yang disemarakkan oleh internet dan media sosial lewat ini begitu tidak disangka-sangka, seperti peristiwa Kebangkitan Arab (Arab Spring) dan kemenangan Donald Trump.
Bukti telah menyingkap bagaimana pembebasan idea dan pemikiran telah berjaya mencetuskan Revolusi Perindustrian Britain. Malaysia juga memerlukan kepada “Pencerahan” kita yang tersendiri, yang melangkaui kemakmuran bersifat kosmetik, melalui pemikiran kritis.
Berfikirlah!
Pemikiran kritis berbeza sama sekali dengan pemikiran negatif. Masih ramai di kalangan kita yang tidak mampu membezakan keduanya.
Di kalangan rakyat sebuah negara kecil ini yang di atas kertasnya kelihatan berdaulat dan dijamin hak asasinya, sebenarnya masih wujud perasaan takut yang cukup tegar untuk mempersoalkan sempadan dan hak-hak asasi.
Rakyat Malaysia harus mula berfikir. Meskipun pemikiran sering dianggap hanya sebagai pendorong revolusi dan gerakan aktivisme yang gemar menentang arus perdana, kita lupa bahawa pemikiran jugalah sebenarnya yang membentuk dunia akademik dan masyarakat serta mempengaruhi kepimpinan, pembentukan dasar awam dan akhirnya, menambah baik kehidupan manusiawi secara umumnya.
Jika kita membenarkan budaya berfikir ini terus berkembang, negara kecil berdaulat kita yang masih bergelut dalam memahami erti kata sebenar perkembangan, kemodenan dan pembangunan manusia bakal menikmati pulangan yang lumayan hasil daripadanya.
Tetapi, jika kita terus menerus menyekat, ataupun gagal menggalakkan budaya berfikir, rakyat bakal terumbang-ambing dalam proses mencari makna dan tujuan secara berpecah-pecah, dengan interpretasi dan sentimen masing-masing akibat dipengaruhi pengaruh asing dalam dunia yang serba global dan arus perkongsian maklumat yang serba bebas kini.
Saya sentiasa menyokong budaya membaca sebagai langkah penting Malaysia ke arah kecemerlangan negara serta untuk menjadi bangsa dunia kelas pertama. Namun, hasrat ini hanya akan boleh menjadi realiti jika budaya ini digabung dengan budaya pemikiran kritis.
‘Kehidupan yang tidak dinilai, ialah sebuah kehidupan yang tidak bermakna’- Socrates
* Anas Alam Faizli memegang ijazah kedoktoran dalam Pentadbiran Perniagaan. Beliau adalah seorang professional bidang pembinaan dan minyak & gas, warganegara Malaysia yang prihatin dan pengarang Rich Malaysia, Poor Malaysians dan bertweet di @aafaizli
** Tulisan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.